Tawau: Seorang Pegawai Penjara, hari ini dipenjara 10 tahun dan dikenakan enam sebatan atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak rakannya pada Januari tahun lalu.
Tertuduh, Marino Majabin, 46, dijatuhkan 10 tahun penjara dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, namun hukuman penjara dilaksanakan serentak, kecuali sebatan yang dibuat berasingan menjadikan enam sebatan semuanya.
Hukuman itu diputuskan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh pada akhir perbicaraan di Mahkamah Sesyen, di sini.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang berusia 15 tahun di dalam tandas sebuah rumah di Perumahan Kuarters Penjara, Jalan Air Panas Taman Ehsan, di sini, pada jam 3.30 pagi, 12 Januari 2021.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal dengan memasukkan dua jari iaitu jari tengah dan telunjuk ke dalam kemaluan pengadu.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan di lokasi dan masa yang sama iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan meraba dan menggigit buah dada sebelah kiri pengadu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama
bapanya datang ke rumah tertuduh untuk berubat secara kampung kerana menghadapi masalah gangguan makhluk halus.
Tertuduh yang juga rakan sekerja bapa mangsa pada awalnya memberi rawatan di ruang tamu tetapi kemudian memaklumkan mahu memandikan mangsa di dalam tandas sebelum melakukan perbuatan amang seksual.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam, Ag Amli Noraufe Ag Nohin.
-Deasoka