KPM rujuk pandangan KKM berhubung kes HFMD di sekolah

Kota Kinabalu: Sebarang langkah yang diambil pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) membabitkan di sekolah akan merujuk pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, KKM juga yang akan melakukan penilaian untuk memutuskan sama ada kes HMFD yang meningkat di Sabah membimbangkan atau sebaliknya.

“Setakat ini kita akan minta pandangan daripada KKM, jadi KKM yang memutuskan serius atau tidak kerana penilaian dilakukan oleh KKM bukan KPM.

“Kita akan minta pandangan KKM. Apa saja pandangan KKM, kita akan terima sebab merekalah yang bertanggungjawab sama ada serius atau tidak,” katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil oleh pihak KPM berhubung penyakit HMFD membabitkan murid sekolah.

Sebelum itu, beliau memaklumkan KPM akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi memantau jangkitan HMFD dalam kalangan murid sekolah.

Beliau dalam pada itu berharap, pihak pentadbiran sekolah serta ibu bapa mengambil perhatian dengan keadaan semasa penyakit itu.

“Saya minta ibu bapa dan semua pentadbiran sekolah supayua mengambil perhatian perkara ini khususnya dalam menjaga kebersihan serta langkah pencegahan seperti yang disarankan KKM.

“Kita akan terus bekerja rapat dengan KKM dan mendapatkan nasihat supaya tidak berlaku penularan yang serius di sekolah-sekolah. Saya yakin KKM sudah bersedia dan kita juga bersedia untuk menghadapi selain mengambil langkah yang perlu untuk pencegahan,” katanya.

Dalam kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin sebelum ini, dilaporkan jangkitan penyakit HFMD di negeri ini mula menunjukkan peningkatan bermula pada Minggu Epidemiologi 14 (ME 14/2022) iaitu dari 3 hingga 9 April lalu dan semakin meningkat dengan ketara pada ME ke-20 dari 15 hingga 21 Mei.

Beliau berkata, kumulatif kes HFMD di Sabah sehingga ME ke-20 adalah sebanyak 3,351 kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|