Hajiji minta Duta Besar EU betulkan tanggapan negatif industri minyak sawit Malaysia

Kota Kinabu: Kerajaan negeri hari ini meminta Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michalis Rochas untuk membetulkan tanggapan negatif mengenai industri minyak sawit negara, khususnya di Sabah dalam kalangan negara di rantau EU.

Perkara itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada pertemuan dengan Rochas bersama delegasinya di Sri Gaya, di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan buku mengenai Gunung Kinabalu kepada Rochas selepas pertemuan di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

Hajiji berkata, Rochas sudah melihat sendiri pendekatan mapan dan terbaik yang diamalkan sektor perladangan kelapa sawit di Sabah sempena lawatannya ke negeri ini.

Beliau menjelaskan kepada Rochas bahawa Sabah sudah lama mengamalkan pendekatan mapan dalam penanaman kelapa sawit, bertentangan dengan tindakan EU yang melobi anti minyak sawit melalui penyebaran berita negatif secara meluas.

Berikutan itu, Hajiji mengalu-alukan komitmen Rochas untuk mengetengahkan keutamaan pembangunan Sabah dalam bidang pertanian, industri dan pelancongan, selain sektor tenaga kepada EU.

“EU adalah rakan perdagangan yang penting. Kita mahu melihat lebih banyak pelaburan dan peningkatan perdagangan dengan EU. Ketika ini Sabah merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM4.2 bilion dengan EU, iaitu RM3.3 bilion eksport dan RM800 juta import,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga berminat untuk menjalin kerjasama lebih baik dengan EU untuk menangani isu alam sekitar dan mengalu-alukan tawaran kesatuan berkenaan menyediakan sokongan dan kepakaran dalam bidang berkenaan.

Jelasnya, Sabah berjaya memenuhi komitmen untuk mengekalkan 50 peratus kawasan hutan dan memastikan 52 peratus hutan simpan kekal, taman dan kawasan pemeliharaan hidupan liar tidak diusik.

Sementara itu, Rochas bersetuju bahawa berlaku salah tanggapan mengenai perladangan kelapa sawit dalam kalangan negara EU yang perlu diperbetulkan.

Sepanjang berada di Sabah, Rochas antara lain turut melawat ladang kelapa sawit milik anak syarikat kerajaan negeri, Sawit Kinabalu dan melihat sendiri aktiviti pemeliharaan alam sekitar yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Saya sudah melihatnya sendiri dan ia memang wajar dipuji. Saya sangat teruja melihat orangutan bersama anaknya walaupun dari jauh. Kajian juga menunjukkan banyak sarang orangutan ditemui di atas pokok menunjukkan hidupan liar itu dalam keadaan baik.

“Namun, EU belum tahu mengenai perkara ini. Kita perlu pulang dan berikan gambaran yang betul mengenai situasi di Sabah. Saya akan sampaikan ini kepada Brussels (ibu pejabat EU).

“Saya mahu membetulkan dan mengukuhkan pandangan berkaitan industri kelapa sawit di Malaysia. Hutan anda adalah satu aset, warisan dunia dan sebab itu kita mengambil berat mengenainya,” katanya.

Rochas turut menawarkan bantuan untuk pemeliharaan biodiversiti dengan dana EU kepada kerajaan negeri, selain memperbaiki kerjasama di antara EU dan Sabah melalui sokongan teknikal dan kepakaran.

“Malaysia adalah negara yang penting kepada EU, kira-kira 40 peratus perdagangan EU berada di negara ini dan ada banyak lagi yang boleh diteroka di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|