Sabah masih banyak bekalan ayam – Jefrrey

Sabah masih banyak bekalan ayam – Jefrrey

Kota Kinabalu: “Di Sabah, kita masih banyak bekalan ayam,” kata Menteri Perikanan dan Pertanian negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kekurangan bekalan ayam yang berlaku di Semenanjung tidak memberi kesan kepada negeri ini.

Jeffrey pada sidang media di Sokid Villa, Bukit Padang, Kota Kinabalu.

“Jadi kesan kekurangan ayam itu tidak begitu ketara. Kita tidak mengimport begitu banyak ayam sebab bekalan kita mencukupi.

“Hanya bahagian ayam seperti sayap ayam yang kurang,” katanya pada sidang media sempena sambutan Pesta Kaamatan, di Sokid Villa, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu bekalan ayam yang berkurangan di Semenanjung ketika ini.

Beliau bagaimanapun turut menyatakan kebimbangannya berhubung harga ayam yang mungkin akan meningkat jika bekalan berkurangan.

“Cuma saya takut nanti musim perayaan, bekalan ayam import akan berkurangan dan itu yang akan menyebabkan harga ayam akan naik,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung langkah kerajaan untuk menghentikan sementara pengeksportan bekalan ayam ke luar negara, beliau berkata, kerajaan negeri akan melakukannya jika keadaan bekalan ayam di Sabah tidak stabil.

“Kalau kita tidak cukup, kita kena ikut apa yang kerajaan Persekutuan lakukan. Setakat ini cukup,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya semalam memaklumkan kerajaan akan menghentikan pengeksportan 3.6 juta ayam sebulan berkuatkuasa 1 Jun ini.

Larangan itu dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam di dalam negara kembali stabil.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|