Pegawai pendidikan tidak mengaku salah terima suapan RM5,000

Pegawai pendidikan tidak mengaku salah terima suapan RM5,000

Tawau: Seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG44 mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menerima suapan sebanyak RM5,000 pada 2020 ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Tawau, di sini, hari ini.

Tertuduh, Abdul Samad Amara, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 11 September 2020, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Infrastruktur dan Pembangunan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang pemilik syarikat pembinaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kenderaan di kawasan Taman Univila, di sini.

Tertuduh dipercayai mengetahui bahawa ia mungkin ada kaitan dengan kerja-kerja rasminya iaitu memilih syarikat terbabit untuk kerja membaik pulih dan penyelenggaraan Sekolah Kebangsaan (SK) Balung, di sini, dengan nilai RM223,247.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM 5,000 dengan RM3,000 sebagai deposit bersama seorang penjamin tempatan.

Tertuduh turut diperintah supaya melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut melarang tertuduh daripada mendekati saksi, manakala tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes ditetapkan pada 3 Jun depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|