OHIDAS Wellness Toolkit inovasi sulung HUMS bantu tingkat kesihatan rakyat

OHIDAS Wellness Toolkit inovasi sulung HUMS bantu tingkat kesihatan rakyat

Kota Kinabalu: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) memperkenalkan sebuah inovasi baharu berasaskan konsultasi kesihatan untuk membantu masyarakat di Sabah mendapatkan bimbingan berkaitan kesihatan.

Aplikasi yang dikenali sebagai OHIDAS Wellness Toolkit itu adalah inovasi sulung HUMS yang menawarkan nasihat kesihatan melalui telemedicine secara terus daripada pakar perubatan dalam kalangan Pegawai Perubatan di HUMS.

Pelancaran Aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit di Hospital UMS

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata aplikasi itu adalah satu inovasi baharu yang dihasilkan bertujuan mendekatkan komuniti dan meningkatkan kualiti kesihatan termasuk penduduk luar bandar di Sabah.

“Objektif utama penghasilan aplikasi ini adalah untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan membantu saringan awal kesihatan dalam komuniti khususnya berkaitan masalah kesihatan ‘non-communicable disease’ seperti kencing manis, darah tinggi, barah dan lain-lain lagi.

“Penghasilannya bertunjangkan lima nilai teras utama ataupun Core Value yang diamalkan oleh HUMS iaitu innovative, compassionate, collaborative, empowering dan sustainable,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pendekatan utama yang diterapkan dalam aplikasi itu adalah promosi kesihatan, pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan secara berterusan dan konsisten serta penjagaan kesihatan dari rumah di peringkat komuniti.

“Saya yakin dalam jangka masa yang singkat, penduduk luar bandar akan menerima pelbagai manfaat melalui penggunaan aktif dan konsistensi aplikasi ini.

“Saya percaya interaksi yang wujud dalam kalangan warga HUMS dengan komuniti setempat melalui Program KPT Prihatin (KRISS) akan menjadi wadah dan penghubung di antara masyarakat dengan UMS,” katanya.

Katanya, aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit tidak hanya tertumpu kepada aspek perubatan, malah ia mampu membentuk cara pemikiran yang kritikal, kreatif dan dinamik ke arah perubahan gaya hidup sihat.

Sementara itu, Pengarah HUMS, Prof Dr Helen Benedict Lasimbang, berkata OHIDAS turut menyediakan diari untuk menjejak data kesihatan peribadi, merekod pelan penjagaan diri dari segi kesihatan fizikal dan mental.

“Perkataan Ohidas dalam bahasa Kadazan bermaksud kesihatan. Nama itu turut mewakili fungsi aplikasi ini yang membolehkan pengguna merekod kesihatan, ubatan dan alergi,” katanya.

Selain itu, katanya OHIDAS juga menawarkan perkhidmatan ‘Tanya Pakar’ iaitu satu platform dalam talian untuk pengguna membuat temu janji bagi mendapatkan nasihat pakar perubatan tanpa mengunjungi Pusat Perubatan Universiti.

Katanya, konsultasi atau rundingan kesihatan akan dilakukan melalui persidangan video dan sesi soal jawab bersama pakar yang terdiri daripada pelbagai bidang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|