Cabut lari kedapatan punggah rokok seludup

Cabut lari kedapatan punggah rokok seludup

Tawau: Seorang lelaki terkejut diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) ketika sedang leka memunggah kotak berisi rokok seludup ke kawasan persisiran pantai di Pangkalan Kayu Balak, Batu 4, di sini, disyaki untuk tujuan pengedaran.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, kegiatan lelaki terbabit dikesan ketika anggota PPM Tawau menjalankan rondaan di kawasan berkenaan, semalam.

“Anggota PPM berjaya mengesan seorang lelaki sedang memunggah barang dari sebuah bot ke kawasan persisiran pantai tempat berkenaan.

“Suspek bertindak melarikan diri menggunakan bot ke tengah laut selepas menyedari kehadiran polis dan tidak dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ridzauddin berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa kotak berisi rokok pelbagai jenis yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM30,898.56.

“Rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata,Sementara itu, beliau berkata, pihaknya meminta masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0139391197.

“Orang ramai juga boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|