PBS ubah fokus, tumpu golongan muda selepas PRU15

PBS ubah fokus, tumpu golongan muda selepas PRU15

Penampang: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengubah fokusnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) bulan lalu, dengan menekankan kepada program untuk memenuhi keperluan generasi muda.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata usaha itu akan diletakkan di bawah sayap Pergerakan Pemuda Bersatu (BYM) bagi menarik pengundi baharu, khususnya lepasan sekolah.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

Jelasnya, golongan belia memainkan peranan yang besar pada PRU15 dan PBS perlu menstruktur semula serta mengubah haluan fokus parti, khususnya berkaitan generasi muda.

“Kita merancang untuk melaksanakan program untuk belia dalam peranan kepemimpinan dan pembabitan secara praktikal dengan pemimpin parti.

“Sebenarnya, sudah ada beberapa aktiviti sedia ada dilaksanakan di bawah BYM dan Akademi Kepimpinan Bersatu (AKB) yang akan direka bentuk semula untuk memenuhi senario politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata PBS juga akan meneruskan perjuangannya untuk membela hak rakyat dan negeri ini seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelasnya, PBS berharap dapat mengadakan lebih banyak mesyuarat dan seminar serta sesi libat urus berhubung perkara yang belum selesai di bawah MA63.

“Kali ini ia bukan saja mengenai mendidik orang ramai mengenai hak kita tetapi menjamin hak kita dan bagaimana hak itu boleh memperbaiki kehidupan rakyat Sabah, khususnya dalam pendidikan, kesihatan, perubahan ekonomi, keselamatan serta budaya dan autonomi agama,” katanya.

Katanya, isu selanjutnya termasuk berkaitan Mahkamah Borneo, pentas benua dan saham lima peratus Sabah dan Sarawak dalam Akta Pembangunan Petroleum1974 (PDA) serta implikasi status setara dalam hasil tahunan dan perkongsian perbelanjaan.

Setakat ini, katanya perkara itu belum ditangani dan usaha perlu diambil bagi memastikan jaminan hak ke atasnya boleh diterjemahkan kepada autonomi dalam pendidikan, kesihatan dan perkembangan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Maximus yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata perkara berkaitan MA63 mesti dibincangkan secara terperinci.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata perkara berkaitan MA63 yang dipersetujui untuk dikembalikan boleh dilaksanakan tanpa perlu perjanjian daripada Jawatankuasa Kabinet.

“Masalahnya, kebanyakan perkara berkaitan hak negeri bukannya secara terus, sebaliknya ia terjalin dengan beberapa isu berkaitan yang lain terutama hal undang-undang, polisi dan pelaksanaan, jadi tidak boleh ditangani secara berasingan.

“Berdasarkan pengalaman saya, kita perlu membabitkan setiap perkara dengan beberapa kementerian berkaitan. Punca kenapa ia (tuntutan MA63) sukar dikembalikan sebelum ini kerana apabila dilaksanakan, sektor yang berkaitan perlu bertindak secara bersama, bukan bersendirian,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini tidak banyak dapat dicapai dalam usaha mengembalikan hak Sabah kerana ada kementerian atau jabatan lain yang menentang terhadap usaha itu.

Katanya, hanya satu cara dapat menyelesaikan masalah itu, iaitu dengan membentuk jawatankuasa tunggal sebagai tempat semua pihak berbincang dan membuat keputusan bersama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|