GAH-UMS tampilkan 42 karya lukisan bertaraf antarabangsa

GAH-UMS tampilkan 42 karya lukisan bertaraf antarabangsa

Kota Kinabalu: Sebanyak 42 karya lukisan hasil sentuhan 18 seniman dari Malaysia dan luar negara dipamerkan pada Pameran Panggilan Pulau di Galeri Azman Hasim (GAH) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pameran di bawah Persatuan Seni Rupa Malaysia (PERUPA) itu telah dibuka sejak 5 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023.

Dr. Mohammad Puad Debit berucap merasmikan pameran.

Pengarah GAH-UMS, Dr Mohammad Puad Bebit berkata, pameran bertaraf antarabangsa itu adalah yang julung kalinya diadakan di Galeri tersebut.

Katanya, ia menjadi satu acara yang dinantikan oleh semua peminat seni khususnya para pelukis, seniman, mahasiswa dan pelajar di Sabah.

“GAH-UMS sebagai pusat sehenti sentiasa mengadakan pameran berkala karyawan tanah air dan luar negara untuk memberi peluang kepada masyarakat tempatan menilai serta membuat rujukan terhadap perkembangan seni global.

“Peranan galeri GAH-UMS akan menyumbang dan memberi nilai tambah kepada usaha memasyarakatkan seni visual dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, sempena majlis perasmian pameran itu baru-baru ini.

Menurut beliau, GAH-UMS juga akan terus memberi ruang kepada pelbagai sesi pameran karya, seminar, bengkel, pertandingan, aktiviti seni persembahan, tayangan filem dan persembahan muzik.

“Usaha ini diharap dapat menyalurkan info dan rujukan kepada mahasiswa dan para penyelidik khususnya seni berelemenkan budaya Sabah.

“Pada pameran kali ini, kumpulan pelukis PERUPA berkongsi makna melalui pengisian naratif secara laras bahasa visual di sebuah lokasi pulau indah dengan penampilan komuniti maritim yang jauh dari hiruk piruk sebuah kota.

“Saya bagi pihak UMS mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua seniman yang terlibat, dan seluruh ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan pameran seni Panggilan Pulau ini,” katanya lagi.

Hadir sama, Setiausaha PERUPA, Ahmad Suketi Ahmad; Penasihat Persatuan Seni Visual Sabah, Cristine Gunting, dan Pensyarah Kanan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Dr Zaimie Sahibil.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|