Majlis Anugerah Pascasiswazah 2022 rai graduan pascasiswazah UMS

Majlis Anugerah Pascasiswazah 2022 rai graduan pascasiswazah UMS

Kota Kinabalu: Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) 2022 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) diadakan bagi meraikan graduan pascasiswazah sempena Majlis Kovokesyen UMS ke-24 yang berlangsung bermula esok (Sabtu) sehingga Isnin depan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, sejajar dengan dasar kerajaan yang lebih telus kepada kehendak dan aspirasi rakyat, semua institusi pengajian tinggi termasuk UMS akan disemarakkan dengan suasana persekitaran kampus yang baharu.

Kasim bersama graduan dan penyelia masing-masing

Menurutnya, di mana budaya pendidikan akan beralaskan kepada pemupukan rasa kecintaan dan pemerkasaan sikap hormat menghormati.

“Ini sekali gus meningkatkan darjah kegembiraan baik di pihak pelanggan yakni pelajar dan masyarakat, mahupun dalam kalangan pentadbir dan pensyarah.

“Dengan kata lain, pendekatan-pendekatan seperti inilah yang akan menjadikan perjalanan menuntut ilmu itu walaupun mencabar tetapi tetap menyeronokkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, pada Khamis, beliau telah merasmikan majlis itu yang juga merupakan anjuran Pusat Pengajian Pascasiswazah dengan kerjasama Pusat Luar UMS (PLUMS).

Untuk rekod, seramai 427 graduan pascasiswazah akan diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS kali ini merangkumi graduan peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Doktor Perubatan Kesihatan Awam (DrPh), dan Diploma pascasiswazah.

Mengulas lanjut, Kasim berkata, sebagai kumpulan pelajar matang para pelajar pascasiswazah mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri dalam menamatkan pengajian masing-masing.

“Pastinya, kejayaan menerima segulung ijazah di pentas Konvokesyen pada 10 Disember ini disebabkan saudara dan saudari mempunyai pelan pengajian yang sistematik, terarah dan berfokus. Selain itu, saudara dan saudari telah mengikuti segala bimbingan penyelia dengan baik.

“Sedar atau tidak, segala apa yang telah saudara dan saudari lalui selama ini bukan semata-mata mengenai soal menamatkan pengajian lalu dikurniakan dengan segulung ijazah.

“Apa yang telah anda lalui selama ini adalah suatu pengalaman tentang bagaimana mencapai kecemerlangan dan seterusnya menggapai kemenangan dalam perjuangan menuntut ilmu.

“Tanpa dedikasi dan disiplin serta komitmen dan kesungguhan, tidak mungkin kejayaan ini dapat diperoleh,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, beberapa anugerah turut disampaikan kepada para graduan dan pensyarah, iaitu Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Pelajar Terbaik Sarjana Kerja Kursus mengikut Program, Anugerah Tesis Terbaik Sarjana (Sains), Anugerah Tesis Terbaik (Sastera), Anugerah Tesis Terbaik Doktor Falsafah (Sains), dan Anugerah Tesis Terbaik Doktor Falsafah (Sastera).

Turut disampaikan ialah Anugerah Penyelia Terbaik (Sains), Anugerah Penyelia Terbaik (Sastera), Anugerah Pelajar Cemerlang Pascasiswazah (Secara Penyelidikan) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Pascasiswazah (Secara Kerja Kursus).

Hadir sama Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi; Pengarah Pusat Luar UMS, Dr Lim Thien Sang serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan universiti

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|