Imigresen Sabah nafi abai kebajikan tahanan

Imigresen Sabah nafi abai kebajikan tahanan

Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan dakwaan bahawa tahanan di Depot Imigresen di negeri ini tidak dilayan dengan sewajarnya seperti yang tular di media sosial Facebook (FB), baru-baru ini.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penahanan dan pengurusan tahanan adalah selaras dengan peruntukan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran Dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003.

Katanya, semua tahanan yang ditahan adalah dipastikan mendapat layanan dan pengurusan yang sewajarnya baik dari segi bekalan makanan mahupun rawatan perubatan.

“Berdasarkan kepada rakaman video tular didapati keadaan fizikal tahanan telah dieksploitasikan oleh pihak tertentu.

“Oleh itu, JIM Sabah menafikan bahawa tidak berlaku sebarang penindasan terhadap tahanan terutama dari segi pemberian bekalan makanan dan perubatan hingga keadaan fizikal mereka seperti yang terdapat dalam rakaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelasnya lagi, perlu dimaklumkan bahawa sebahagian besar tahanan di Depot adalah mereka yang sudah selesai menjalani hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang negara ini kerana terbabit dengan pelbagai aktiviti-aktiviti tidak sihat.

“Tahanan-tahanan ini kemudiannya telah diserahkan kepada JIM Sabah selepas tamat menjalani hukuman bagi tujuan penghantaran/pemindahan balik ke negara asal.

“Depot Imigresen juga adalah tempat untuk menahan warganegara asing bagi tujuan siasatan dan untuk menentukan status kewarganegaraan sebenar mereka sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Sementara itu, mengenai proses penghantaran pulang tahanan terbabit, SH Sitti Saleha berkata, proses penghantaran balik ini hanya akan dapat dilakulan selepas mendapat pengesahan daripada pihak kedutaan negara masing-masing.

Katanya, sebaik mendapati pengesahan, pihak kedutaan akan mengeluarkan dokumen perjalanan berkaitan (Travel Document – bagi warganegara Filipina/Sijil Perjalanan Laksana Paspor – bagi warganegara Indonesia) sebagai perakuan mereka adalah warganegara terbabit.

“Pada 2022 penghantaran balik ke negara asal bagi tahanan warganegara Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Sabah hanya bermula pada 6 September 2022 disebabkan faktor penutupan pintu masuk di Filipina terutama Pelabuhan Zamboanga akibat pandemik Covid-19.

“Setakat 9 Disember 2022, JIM Sabah sudah menghantar balik seramai 3,004 tahanan warganegara Filipina, 2,166 tahanan warganegara Indonesia dan 224 tahanan lain-lain warganegara menjadikan keseluruhan adalah seramai 5,394 tahahan yang selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provikasi sehingga menjejaskan tugas-tugas JIM Sabah serta menggugat Ketenteraman awam.

Katanya, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan penghantaran balik tahanan warganegara asing selepas mereka melalui semua proses perundangan serta selepas mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|