PBS sedia rampas Tuaran untuk GRS

PBS sedia rampas Tuaran untuk GRS

Tuaran: Parti Bersatu Sabah (PBS) bersedia menggalas tanggungjawab merampas kerusi Parlimen Tuaran untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pihaknya yakin mampu merampas kerusi berkenaan daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Maximus ketika berucap di mesyuarat Agung Tahunan Ke-37 PBS Bahagian Tamparuli.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kubu kuat PBS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dan Tamparuli, selain sokongan penyokong di DUN Sulaman dan Pantai Dalit dalam Parlimen Tuaran.

“Kita menjangkakan PRU akan diadakan selewatnya tahun depan dan Tuaran adalah antara kerusi yang kita berminat untuk bertanding.

“Jentera PBS sudah bersedia dan akan diperkukuhkan lagi dengan pertambahan keahlian dan cawangan.

“PBS akan terus berkembang dan dua wakil rakyat kita di Kiulu dan Tamparuli memberikan khidmat yang baik kepada akar umbi.

“Penyokong tahu dengan jelas perjuangan PBS, sebab itu mereka terus menyokong parti ini,” katanya ketika menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-37 PBS Bahagian Tamparuli, di sini, hari ini.

Ketika ini Parlimen Tuaran diwakili Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau yang memenanginya pada PRU-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum keluar dan menyertai pakatan bersama Parti Warisan (WARISAN) membentuk kerajaan negeri pada 2018.

Sementara itu, Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menekankan GRS yang baru didaftar secara rasmi minggu lalu akan terus menuntut hak Sabah dan rakyatnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|