Karier pengiring peribadi eksekutif semakin diminati

Karier pengiring peribadi eksekutif semakin diminati

Kota Kinabalu: Diterapkan dengan teknik berdepan ancaman selain tindakan perlu berlandaskan kepatuhan undang-undang dalam menjalankan tugas.

Itu antara intipati Kursus Asas Pengiring Peribadi Eksekutif atau ‘Bodyguard’ selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Zaini menyampaikan sijil kepada peserta kursus.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, kerjaya yang serba mencabar itu sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ramai pihak.

Katanya, ia ternyata mampu menarik minat ramai bukan saja dalam kalangan belia tetapi juga pesara dari pasukan keselamatan negara.

Zaini bersama peserta kursus asas pengiring peribadi eksekutif atau bodyguard.

“Kursus yang dihadiri seramai 21 peserta ini akan memberi nilai tambah dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka.

“Saya difahamkan, peserta kursus ini juga ada yang terdiri daripada pesara atau bekas pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Sulitnya, Datuk Seri Zaini Abdullah yang hadir merasmikan penutupan kursus anjuran Global Protection Security & Training Services Sdn Bhd, di Masindung Resort, di sini.

Menurutnya, kursus itu juga akan menambahkan keyakinan diri, keterampilan serta kemahiran peserta ketika menjalankan tugasan kerana mereka lebih tahu apa yang perlu lakukan.

“Apa yang lebih penting adalah pengetahuan mengenai peraturan serta etika ketika menjaga keselamatan majikan seperti yang berhormat, pengarah urusan dan pengerusi syarikat atau sesiapa saja yang memerlukan perkhidmatan ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Zico Solaiman berkata, segala aktiviti yang dijalankan sepanjang kursus berkenaan ternyata membantu melengkapkan persiapan diri sebelum beralih ke arah yang lebih mencabar.

Katanya, berbekalkan kepada pengalaman berkenaan, ia sudah pasti boleh dipraktikkan dalam menjayakan karier masing-masing.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, kursus ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pasaran dalam menjaga keselamatan individu-individu penting.

“Selain itu, melalui kursus ini kami juga dapat meningkatkan kemahiran ilmu mempertahankan diri dan keselamatan, serta pengetahuan perundangan yang diperlukan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|