PBRS komited dan konsisten terhadap tuntutan MA63

PBRS komited dan konsisten terhadap tuntutan MA63

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) komited dan konsisten terhadap tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh kerajaan.

Ketua Penerangan PBRS, Datuk Fredie Sua berkata, MA63 adalah perjanjian dan komitmen yang telah dipersetujui semua pihak semasa pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

“MA63 adalah asas penubuhan negara dan sudah dipersetujui pemimpin terdahulu.

“Sebagai satu-satunya parti tempatan Sabah dalam gabungan Barisan Nasional (BN), kami kekal komited untuk memastikan kedudukan Sabah terjamin dalam Persekutuan Malaysia.

“Ini adalah antara perjuangan utama PBRS sejak ditubuhkan pada tahun 1994,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kerajaan pada dasarnya telah selangkah ke hadapan untuk menjamin MA63 ditunaikan.

“Buktinya, kerajaan di bawah BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berjaya meluluskan pindaan perlembagaan untuk mengembalikan semula kedudukan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung Malaysia.

“Kejayaan ini merupakan langkah pertama dan signifikan dalam usaha untuk meneruskan agenda menunaikan hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam membentuk Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam MA63,” katanya.

Justeru, Fredie berkata, PBRS konsisten dan komited bahawa prinsip dan kandungan utama MA63 wajib dihormati dan dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|