ADUN PH akan kemuka usul pembatalan Perjanjian Petronas pada sidang DUN Sabah

ADUN PH akan kemuka usul pembatalan Perjanjian Petronas pada sidang DUN Sabah

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Ewon Benedick dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe akan mengusulkan pembatalan Perjanjian Petronas di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung minggu depan.

Dalam kenyataan bersama dua ADUN Pakatan Harapan (PH) itu, usul itu sebagai tindakan menerima cabaran bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh baru-baru ini.

“Kami mengambil maklum kenyataan mantan Ketua Menteri, Tan Sri Harris yang menyatakan bahawa Perjanjian Petronas ditandatangani bagi melaksanakan Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan di Parlimen pada tahun 1974.

“Beliau menyatakan bahawa wakil-wakil rakyat Sabah pada ketika itu juga menyokong keputusan tersebut.

“Tan Sri Harris juga menyatakan agar kami mengemukakan usul di DUN bagi membatalkan Perjanjian Petronas tersebut.

“Kami menerima cabaran tersebut dan kami akan mengusulkan pembatalan Perjanjian Petronas pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan diadakan pada 18 hingga 21 Julai ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mereka berpendapat bahawa semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen yang berkaitan dengan hak-hak dan kepentingan-kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus terlebih dahulu diluluskan di DUN Sabah sebelum dikuatkuasakan.

“Jika ia tidak diluluskan di DUN Sabah, maka akta tersebut seharusnya tidak boleh dikuatkuasakan di Sabah.

“Kami tetap berpendirian bahawa Perjanjian Petronas yang ditandatangani oleh Tan Sri Harris dan Tan Sri Pairin Kitingan merupakan satu kesilapan besar yang telah merugikan rakyat Sabah sehingga kini.

“Wakil-Wakil Rakyat yang bersetuju ke atas keputusan tersebut juga turut sama bertanggungjawab ke atas kesilapan tersebut,” katanya.

Menurut mereka lagi, Sabah memerlukan kepimpinan yang tegas dan tidak mudah akur kepada kehendak kerajaan Persekutuan apatah lagi jika ia hanya memberi keuntungan kepada Putrajaya sahaja.

“Kami komited untuk terus mengangkat pendekatan perubahan dalam menuntut semula hak-hak kita dalam Perjanjian Malaysia.

“Ini termasuklah menggunakan platform sidang DUN Sabah dan saluran perundangan sepertimana kami memfailkan Saman Pemula (OS) di Mahkamah Tinggi bagi menuntut hak 40 peratus hasil persekutuan di Sabah.

“Jika usaha kami tidak berjaya melalui sidang DUN Sabah, maka kami mempertimbangkan untuk memfailkan Semakan Kehakiman bagi mencabar kesahihan Akta Pembangunan Petroleum dan Perjanjian Malaysia terutama ianya dibuat semasa Ordinan Darurat berkuatkuasa yang mana kini sudah dibatalkan,” tegas kedua-dua ADUN berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|