Calon Ahli LHDN dari Sabah dan Sarawak dalam proses pelantikan

Calon Ahli LHDN dari Sabah dan Sarawak dalam proses pelantikan

Kota Kinabalu: Senarai calon berpotensi dari Sabah dan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan (MoF).

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Jonnybone Kurum berkata, perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada Disember tahun lalu dan April tahun ini.

“Kedua-dua kerajaan Sabah dan Sarawak telah mengemukakan senarai calon mereka dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) telahpun menyerahkan nama calon tersebut kepada MoF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Timbalan Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Darell Leiking yang menyeru kerajaan Sabah mencontohi Sarawak dan mengemukakan calon bagi jawatan lembaga pengarah LHDN.

Jonnybone yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid berkata, semua pihak telah melakukan tugas mereka dan Mereka dalam proses perlantikan.

Tambahnya lagi, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melakukan tugas mereka dan menyelesaikan isu tersebut seperti yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan.

“Kerajaan GRS sangat teliti dan mereka sedar dan tahu akan hak mereka. Mereka bertindak pantas dan sewajarnya.

“Jangan risau. GRS sudah jauh ke hadapan dan telah menguruskan semua perkara,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|