Labuan: Sebanyak enam ekor lembu disembelih untuk ibadah korban di Masjid Al-Falah Bukit Kalam, di sini, sempena sambutan Aidiladha pada tahun ini.
Pengerusi Masjid Al-Falah, Rahman Jumat, berkata enam ekor lembu itu adalah hasil sumbangan jemaah dan penduduk Kampung Bukit Kalam serta sekitarnya yang mewakilkan jawatankuasa masjid untuk melaksanakan ibadah korban bagi pihak keluarga mereka.

“Enam ekor lembu yang disembelih adalah hasil daripada penyertaan lebih 30 orang yang terdiri daripada jemaah masjid dan penduduk kampung serta sekitarnya,” katanya.
Tambah beliau, daging korban diagihkan kepada golongan asnaf dan fakir yang telah dikenal pasti di Kampung Bukit Kalam dan sekitarnya.

Katanya, selepas dua tahun ibadah korban tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik Covid-19, sambutan pada tahun ini agak meriah tetapi masih mengekalkan SOP seperti yang diarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, turut hadir menyantuni ahli jawatankuasa dan petugas di Masjid Al-Falah Bukit Kalam sempena program ibadah korban itu.
-Deasoka