Motosikal dirempuh, wanita maut manakala suami dan anak cedera

Motosikal dirempuh, wanita maut manakala suami dan anak cedera

Kunak: Seorang wanita maut manakala suami dan anak cedera selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kilometer 10, Jalan Kunak – Tawau, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, mangsa, Rina Samo, 38, yang juga warganegara Indonesia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa disahkan meningal dunia di lokasi kemalangan.

Manakala suami berusia 39 tahun dan anak lelakinya berusia tujuh tahun mengalami cedera di bahagian kepala, muka dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, siasatan awal mendapati kereta SUV jenis Proton X70 dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun bergerak dari arah Tawau menuju ke Kunak manakala motosikal dinaiki mangsa berada di hadapan di lorong sama.

Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas dirempuh dalam kemalangan berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton X70 cuba memotong sebuah lagi kereta di hadapannya, namun pada masa yang sama motosikal dinaiki mangsa cuba masuk ke simpang sebelah kanan.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan kereta X70 tidak sempat mengelak dan terus merempuh motosikal mangsa.

“Akibatnya, penunggang dan anaknya terpelanting ke bahu jalan manakala mangsa iaitu isterinya diseret oleh kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Sabarudin berkata, mangsa iaitu pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya berumur tujuh tahun dan suaminya, 39, mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kunak untuk proses bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|