Tuntutan MA63 sudah lulus, cuma perlukan masa direalisasikan – Abdul Hakim

Tuntutan MA63 sudah lulus, cuma perlukan masa direalisasikan – Abdul Hakim

Lahad Datu: Tuntutan Sabah berhubung pelbagai perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mendapat kelulusan majoriti ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, sebelum ini.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Abdul Hakim Gulam Hassan, berkata bagaimanapun banyak perkara dalam MA63 belum dapat dilaksanakan kerana memerlukan masa untuk direalisasikan.

“Banyak perkara dalam MA63 yang belum dapat dilaksanakan, jadi kita berharap dapat dilaksanakan segera tetapi kita juga faham hal ini tidak dapat dilaksanakan secara sekelip mata,” katanya ditemui pada majlis ibadah korban di Kampung Bikang, di sini, semalam.

Beliau berkata, rakyat Sabah sangat mengharapkan tuntutan mengenai MA63 bukan sekadar diluluskan tetapi dilaksanakan secara umum.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak memang mengharapkan supaya perkara ini bukan sekadar diluluskan tetapi MA63 ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Katanya, beliau percaya kerajaan komited dalam melaksanakan apa yang dijanjikan sebelum ini, namun ia memerlukan masa untuk mengkaji semula dasar MA63 sebelum dilaksanakan.

Jelasnya, pelaksanaan MA63 akan mendatangkan impak positif dalam pelbagai aspek kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita harap Rakyat di Sabah dan Sarawak dapat bersabar dan terus menyokong kerajaan. Kita pasti pelaksanaan perjanjian ini akan mendatangkan kebaikan untuk kita,” katanya.

Beliau berkata, MA63 yang asal perlu dikekalkan kerana ia adalah perjanjian bersejarah berusian hampir 60 tahun yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|