Kota Kinabalu: Semua parti dalan Kerajaan Perpaduan dijangka menandatangani perjanjian berhubung kerjasama dalam membentuk gabungan parti kerajaan persekutuan, esok.
Perjanjian itu turut disertai Parti Warisan (WARISAN), seperti dijelaskan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam kenyataannya selepas menerima Kunjungan Hormat Wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Timbalan Ketua Mission Michael Newbill di kediamannya, di sini, semalam.
Katanya, beliau sendiri akan hadir pada majlis itu sejajar sokongan WARISAN kepada Anwar selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya.
“Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat ini untuk menandatangani perjanjian di antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir pada ketika itu.
“Ini adalah keutamaan kita, kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya,” katanya, di sini.
Sebelum ini, Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata draf akhir perjanjian gabungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan akan siap tidak lama lagi.
Mohd Shafie berkata, kerjasama semua pihak penting bagi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan dalam usaha meletakkan Malaysia ke landasan yang tepat.
“Semua pihak perlu mengurangkan berpolitik, kita perlu bersama-sama mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi rakyat negara ini yang dilihat sangat membimbangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menyatakan keyakinannya Anwar akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen pada pembentangan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
Katanya, WARISAN sejak dari awal sentiasa memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.
-Deasoka