Kota Belud: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Kampung Bangkahak Nayasan, di sini, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Yasap, 80, dilaporkan disedari hilang oleh anak mangsa kira-kira jam 3 pagi sebelum cuba mencarinya dengan bantuan penduduk kampung.

Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal menemui mangsa dan terus membuat laporan kepada pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan mencari warga emas terbabit.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, maklumat diterima selepas keluarga mangsa yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud pada jam 9.52 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan pacuan empat roda terus dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa dilaporkan hilang sejak awal pagi tadi dan operasi pencarian masih dijalankan di kawasan hutan sekitar perkampungan berkenaan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu penduduk kampung sekitar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian masih dijalankan dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka