Papar: Persatuan Pacuan Empat Roda Daerah Papar (Papar 4X4) bakal menganjurkan pertandingan PAPAR OPEN 4X4 CHALLENGE, edisi pertama bermula 15 hingga 17 Julai ini.
Penganjuran kali pertama yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM100,000 itu membabitkan tiga kategori iaitu Kategori Hardcore, Amature dan Novice itu akan diadakan di Pulau Simpang Kiri, Kampung Ulu Kimanis, di sini.
Presiden Papar 4X4, Ridzuan @ Garin Ismail berkata, tujuan utama penganjuran berkenaan adalah bagi menarik minat anak- anak muda untuk menyertai aktiviti sihat melalui sukan lasak kenderaan 4X4.
Katanya, menerusi penganjuran pertandingan itu, pihaknya turut mengharapkan kehadiran dan penyertaan lebih ramai kelab serta persatuan pacuan empat roda dari seluruh negeri untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain.
“Acara perasmian pelepasan flag-off sempena pertandingan ini akan bermula di Padang Pekan Papar dan dijangka dirasmikan oleh Pegawai Daerah Papar, Hadzlan Jablee.
“Acara perasmian ini akan dihadiri Presiden Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA), Faez Nordin, pegawai eksekutif Majlis Daerah Papar (MDP), Ketua Polis Daerah, Pengarah Hospital Papar, Pegawai RELA Daerah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Ridzuan berkata, pihaknya turut menjemput ketua pemimpin kampung berhampiran bersama peminat-peminat sukan lasak untuk turut sama memeriahkan acara berkenaan.
Sementara itu, Ridzuan berkata, setakat ini, pihaknya menerima penyertaan mencecah 85 kenderaan bertanding.
Katanya, semua penyertaan itu akan membabitkan seramai lebih 250 peserta yang terdiri daripada pemandu, pembantu pemandu, krew dan sebagainya.
“Penganjuran pertandingan kali ini turut mendapat lima penyertaan dari Sarawak dan satu kenderaan peserta dari negara jiran Filipina.
“Bagi memeriahkan lagi pertandingan ini, Persatuan Motorcross Tenom juga akan melakukan persembahan Fun-Race aksi-aksi ekstrem motorcross,” katanya.
Ridzuan berkata, jawatankuasa persatuan itu menjangkakan kehadiran penonton yang hadir mencecah 3,000 orang daripada seluruh negeri.
Katanya, penganjuran acara sukan berkenaan juga akan bakal menyerlahkan lagi potensi sukan lasak kenderaan 4X4 di daerah Papar khususnya.
“PAPAR OPEN 4X4 CHALLENGE: 1st Edition ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM100,000 tunai dan tidak termasuk hadiah-hadiah iringan berbentuk barangan seperti tayar, kotak gear dan lain-lain.
“Selain itu, terdapat juga cabutan bertuah bagi penonton yang hadir berupa pelbagai barangan yang bernilai keseluruhan RM50,000,” katanya.
-Deasoka