Usahawan tekstil MARA diminta pastikan harga produk tidak bebankan pengguna

Usahawan tekstil MARA diminta pastikan harga produk tidak bebankan pengguna

Penampang: Usahawan tekstil di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta bukan saja mementingkan kualiti produk yang dihasilkan tetapi juga dalam masa sama memastikan harga yang ditawarkan tidak membebankan pengguna terutama golongan B40.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyedari bahawa berlaku peningkatan pelbagai kos yang turut akan membebankan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

Azizah melihat kualiti pakaian seragam sekolah yang diedarkan oleh Canggih Go ketika majlis perasmian outlet di Kapayan, Kota Kinabalu.

“Walaupun kos meningkat ketika ini, tetapi kita minta usahawan dapat memberi perhatian ke arah ini (harga produk) supaya ia tidak membebankan pengguna kita khususnya anak-anak dari golongan B40.

“Sudah tentu mereka mungkin akan terbeban jika dinaikkan harga (pakaian seragam sekolah). Jadi saya kinta usahawan kita mengambil kira perkara ini dan memastikan harga itu tidak membebankan pengguna yang kurang berkemampuan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Outlet Canggih Go, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kualiti dan harga yang ditawarkan bagi pengusaha pakaian seragam sekolah di bawah MARA yang dilancarkannya itu.

Tambah beliau lagi, kualiti produk yang dihasilkan begitu berkualiti tinggi termasuk dari segi jahitannya dan ia ada potensi untuk diedarkan ke seluruh Sabah.

“Sudah semestinya kita mahu usahawan MARA menghasilkan produk yang berkualiti tinggi untuk memenuhi kehendak pelanggan dan dalam masa sama kita dapat membangunkan usahawan yang betul-betul berkualiti tinggi.

“Sabah setakat ini adalah negeri ketujuh pengedar Canggih Go dan kita berharap ada usahawan lain sebagai ejen untuk diperluas ke seluruh daerah di negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|