PAKK pemangkin sistem sokongan khidmat sosial kanak-kanak

PAKK pemangkin sistem sokongan khidmat sosial kanak-kanak

Kota Kinabalu: Penubuhan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Kota Kinabalu dilihat sebagai pemangkin sistem sokongan kepada perkhidmatan sosial kanak-kanak di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penubuhan pusat itu turut menyaksikan usaha berterusan pihak kerajaan untuk meningkatkan nilai modal insan kanak-kanak ke arah lebih berkualiti pada masa hadapan.

“PAKK Kota Kinabalu diwujudkan bagi membendung isu dan permasalahan kanak-kanak di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dan memenuhi keperluan sosial golongan kanak-kanak.

“Penubuhan PAKK ini secara tidak langsung akan dapat mengawal kanak-kanak daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.

“Menjadi tanggungjawab semua pihak di negeri ini untuk bersama-sama berganding bahu dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan kehidupan kanak-kanak pada hari ini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan PAKK Kota Kinabalu, di Api-Api Centre, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Shahelmey turut menyeru badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk tampil memberi sumbangan kepada PAKK bagi membantu dan membimbing kanak-kanak yang kurang berkemampuan terbabit.

“Saya menyeru golongan korporat, syarikat-syarikat besar dan orang ramai untuk turut bersama-sama menjayakan inisiatif ini dengan memberi sumbangan ataupun menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka bagi menjayakan pembelaan kanak-kanak di negeri Sabah,” katanya.

Untuk rekod, PAKK Kota Kinabalu adalah kerjasama di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Kesatuan Eropah (EU), Perbadanan Pinjaman Sabah, Yayasan Perbadanan Pinjaman Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika ini, terdapat tiga PAKK di Sabah iaitu di Tawau, Papar dan Kota Kinabalu.

Kanak-kanak yang terlibat akan diberi pendedahan 3M (Menulis, Mengira dan Membaca) ketika berada di pusat berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|