MoU LPKP, NIOSH tambah baik keselamatan, kesihatan pekerja di Sabah

MoU LPKP, NIOSH tambah baik keselamatan, kesihatan pekerja di Sabah

Kota Kinabalu: Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bersama hari ini antara Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

MoU itu bertujuan untuk menambah baik aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi industri logistik dan pengangkutan di negeri ini.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan LPKP Sabah dan NIOSH, majlis menandatangani MoU itu diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Pengerusi NIOSH, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong; Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hung; Pengarah LPKP Sabah, Norsiah Patah dan Pengurus NIOSH Sabah dan Labuan, Wan Sarman Sakan.

MoU di antara LPKP Sabah dan NIOSH itu adalah langkah strategik bagi kedua-dua organisasi dalam usaha menambah baik aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi industri logistik dan pengangkutan di Sabah.

“LPKP Sabah dan NIOSH bekerjasama dalam pebagai aktiviti dalam memperkasakan kualiti perkhidmatan kenderaan perdagangan khususnya di dalam mengurangkan kadar kemalangan semasa dalam perjalanan.

“LPKP Sabah dan NIOSH berharap keberhasilan MoU ini akan dapat meningkatkan kualiti penyampaian syarikat kenderaan perdagangan terutamanya berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja,” kata kenyataan itu.

Sebagai organisasi milik kerajaan, LPKP Sabah dan NIOSH percaya serta yakin bahawa persefahaman itu akan memberikan manfaat kepada masyarakat dan rakyat di negeri ini.

MoU itu ditandatangan oleh Pengurus Perniagaan dan Pemasaran NIOSH, Mohd Hussin Abd Salam sebagai wakil NIOSH dan Kim Hiung bagi mewakili LPKP Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|