Kota Kinabalu: Pemandu pengangkutan awam atau kenderaan persendirian perlu sentiasa menjaga emosi dan etika ketika memandu sebagai langkah memastikan pemanduan dalam keadaan selesa dan selamat sepanjang perjalanan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pemandu yang dalam keadaan beremosi atau marah sering menyebabkan pemanduan menjadi tidak stabil.
Katanya, membawa kereta dengan laju dan memotong secara berbahaya menyebabkan penumpang atau pemandu lain berasa tidak selesa, selain tidak selamat.
“Saya mengingatkan pemandu supaya mengambil berat keadaan emosi masing-masing dan perasaan pengguna jalan raya yang lain sebagai langkah bersama dalam memastikan jalan raya sentiasa selamat kepada semua pengguna.
“Ini kerana bila mereka (pemandu) marah, emosi akan terganggu dan keselamatan fikiran sudah terancam sekali gus ketenangan pemanduan akan tergugat dan sudah tentu menimbulkan cara pemanduan yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas melaksanakan pelancaran Ops Selamat Tahun Baru Cina di Jalan Pintas Tuaran Bypass, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah dan Ketua Jabatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Superintendan Zamzuri Mohd Isa.
Mengulas mengenai Ops Selamat kali ini, Jauteh berkata, ia bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya di negeri ini mematuhi peraturan-peraturan dan etika pemandjan khususnya kenderaan pengangkutan awam sepanjang musim perayaan ini.
Katanya, Ops Selamat sempena Tahun Baharu Cina ini bermula 28 Januari hingga 6 Februari.
“Ops Selamat ini membabitkan kira-kira 400 pegawai dan anggota polis bagi memantau semua jalan-jalan utama di negeri ini bagi memastikan bahawa keselamatan pengguna jalan raya sentiasa berada pada tahan yang tinggi.
“Oleh itu, saya nasihatkan semua pengguna yang melakukan perjalanan jauh, pastikan kenderaan dalam keadaan selamat, pandu dengan berhemah dan sentiasa tenang ketika memandu,” katanya.
Sementara itu, mengenai Operasi Bersepadu Kenderaan Awam bas ekspres, Jautah berkata terdapat segelintir pemandu tidak mematuhi etika pemanduan.
“Seharusnya mereka (pemandu bas ekspres) ini memberikan keselesaan kepada pengguna perkhidmatan berkenaan dan bukan mengutamakan kecepatan hingga membahayakan penumpang.
“Dalam Operasi itu, sebanyak 170 kenderaan diperiksa termasuk 15 buah bas ekspres. Sebanyak 15 keping saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan ke atas pelbagai jenis kenderaan.
“Selain itu, seramai 160 individu diperiksa dan polis menjalankan tangkapan ke atas seorang pemandu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk dan seorang lagi pemandu didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.
Terdahulu, operasi itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
-Deasoka