Covid-19 Sabah: Pelajar MRSM Tun Mustapha cetus kluster baharu di Tawau

Covid-19 Sabah: Pelajar MRSM Tun Mustapha cetus kluster baharu di Tawau

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster Covid-19 berkaitan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah hari ini, kali ini membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tawau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kluster baharu itu membabitkan pelajar asrama MRSM Tun Mustapha, Tawau.

“Kluster ini dikenali sebagai Kluster Jalan Apas Batu Lima. Kes indeks adalah seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 berumur 18 tahun yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 26 Januari lalu.

“Saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sebilik, rakan sekelas dan rakan karib sudah dibuat dan mendapati seramai 11 orang lagi positif,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sehingga kini, kluster itu mencatat sebanyak 12 kes dengan 11 daripadanya dilaporkan pada hari ini.

Masidi berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pelajar lain yang menjadi kontak rapat juga diarah untuk diasingkan walaupun setakat ini saringan tidak menunjukkan mereka dijangkiti.

Ia menjadikan sebanyak 13 kluster aktif berkaitan institusi pendidikan di Sabah setakat ini, manakala enam lagi kluster yang masih aktif berkaitan tempat kerja.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kes keseluruhan di Sabah hari ini melonjak secara mendadak kepada 490 kes.

Katanya, jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 123 kes daripada 367 kes yang direkodkan semalam.

“Daerah Sandakan mencatat kes yang tertinggi hari ini dengan 141 kes, peningkatan sebanyak 67 kes berbanding semalam.

“Peningkatan jumlah kes baharu yang banyak di Sandakan dipengaruhi oleh jumlah kes bergejala yang tinggi iaitu 93 kes. Ini menandakan jangkitan ini sudah menyusup jauh dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes baharu melalui saringan bergejala hari ini adalah antara yang tertinggi pernah direkodkan iaitu 251 kes atau 51.22 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan baharu di Sabah.

Katanya, daerah lain yang mencatat jangkitan baharu yang tinggi ialah Kota Kinabalu dengan (61 kes), Penampang (54 kes) dan Tuaran (50 kes).

“Secara keseluruhan sebanyak 11 daerah merekodkan kes dua angka hari ini, diikuti daerah yang mencatat satu angka juga 11 daerah, manakala empat daerah tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 1 Februari 2022
Sabah 490 (367)

Sandakan 141 (74)
Kota Kinabalu 61 (84)
Penampang 54 (17)
Tuaran 50 (50)
Tawau 26 (25)
Lahad Datu 19 (7)
Ranau 18 (13)
Beaufort 18 (10)
Putatan 18 (17)
Kota Belud 17 (19)
Papar 14 (13)
Kota Marudu 12 (6)
Telupid 6 (9)
Kudat 6 (0)
Kuala Penyu 5 (4)
Kinabatangan 5 (2)
Semporna 4 (1)
Keningau 4 (4)
Pitas 4 (1)
Kunak 3 (3)
Tenom 3 (2)
Tambunan 1 (3)
Nabawan 1 (1)
Beluran 0 (0)
Sipitang 0 (2)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 31 Januari 2022

Kluster Baharu
Kluster Jalan Apas Batu Lima
Tawau, 12 (+11)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|