Laksanakan segera peruntukan perlembagaan berkaitan hak rakyat Sabah – Khairul Firdaus

Laksanakan segera peruntukan perlembagaan berkaitan hak rakyat Sabah – Khairul Firdaus

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menggesa supaya kerajaan persekutuan menghormati dan melaksanakan segera peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak rakyat Sabah.

Ketua Penerangannya, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata BERSATU Sabah sependapat dengan pandangan pakar perlembagaan, Datuk Shad Sallem Faruqi, baru-baru ini berhubung Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak negeri dan rakyat Sabah.

Beliau berkata, pendekatan dilaksanakan kerajaan Pusat sejak sekian lama menunjukkan seolah-olah peruntukan itu tidak dihormati.

“Representasi Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak yang hanya 25 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen di Malaysia dengan jelas dan nyata melanggar perlembagaan di bawah Artikel 153.

“Ini wajib dihormati dan dilaksanakan demi masa depan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kegagalan menghormati perjanjian yang telah dipersetujui sebelum terbentuknya Malaysia adalah antara faktor Sabah masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan sosio ekonomi masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul Firdaus berkata, representasi yang tidak seimbang dalam Parlimen menyebabkan banyak dasar atau perkara yang tidak bersesuaian dengan Sabah dan Sarawak diluluskan di Parlimen tanpa mengira sentimen rakyat kedua-dua negeri itu.

“Besar harapan rakyat Sabah supaya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya artikel yang berkaitan dapat dihormati dan dilaksanakan demi kelangsungan rakyat negeri Sabah.

“Pemimpin terdahulu seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha dan Allahyarham Tun Fuad Stephen bersusah payah berjuang untuk kemerdekaan dan kebebasan negeri Sabah serta memastikan setiap sudut hak negeri Sabah yang termaktub dengan terperinci di bawah Perlembagaan Malaysia dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang dibantu oleh Datuk Seri Bung Mokthar Radin dan Datuk Seri Dr Jefrrey Kitingan, perjuangan itu tidak akan disia- siakan.

Atas prinsip ini juga katanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus diperkasakan dan dipertahankan dengan apa cara atau kos sekalipun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|