Maritim Malaysia serbu rumah ‘pondohan’ dijadikan transit minyak petrol

Maritim Malaysia serbu rumah ‘pondohan’ dijadikan transit minyak petrol

Semporna: Rumah tanpa penghuni di kawasan ‘pondohan’ atau rumah atas air Kampung Galam-Galam, Pulau Bum-Bum, di sini, yang dijadikan transit minyak petrol diserbu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, serbuan itu dijalankan Maritim Malaysia Zon Semporna, ketika sedang dalam penugasan Op Pluto, kira-kira jam 11 malam.

Rumah tidak berpenghuni yang disyaki dijadikan transit minyak petrol diserbu Maritim Malaysia dalam Ops Pluto.

Katanya, ketika dalam penugasan itu telah mengesan dan mengesyaki aktiviti mencurigakan di kawasan pondohan lalu melakukan serbuan serta pemeriksaan ke atas sebuah rumah.

“Pemeriksaan ke atas rumah tidak berpenghuni itu menemui 35 tong berisi minyak petrol dengan anggaran nilai 25 liter setiap tong.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norrimi berkata, rumah berkenaan dipercayai dijadikan sebagai transit minyak petrol sebelum diseludup ke negara jiran.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik rumah serta dalang disebalik kegiatan itu.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, katanya Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot sport’ terutama sekitar sempadan negara bagi membanteras penyeludupan dan kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini melalui jalan laut.

Katanya, Maritim Malaysia menggesa kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|