Tidak perlu adakan PRU dalam masa terdekat

Tidak perlu adakan PRU dalam masa terdekat

Kota Kinabalu: Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Aliakbar Gulasan berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak perlu diadakan dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya, beliau yang juga Setiausaha PAS Sabah berkata, semua pihak harus menumpukan terlebih dahulu kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Aliakbar melancarkan sambutan Tahun Baharu Cina PAS Sabah, di Pejabat PAS Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Melihat kepada trend Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Sarawak, saya beranggapan dan penuh yakin bahawa rakyat pada waktu ini tidak suka sangat suasana politik yang caca merba yang tidak stabil.

“Pandangan saya mungkin juga pandangan PAS Sabah, kita mengharapkan kita tangguhkan dahulu PRU dan tumpu kepada pembangunan ekonomi dan juga kebajikan masyarakat,” katanya kepada media selepas melancarkan Sambutan Tahun Baharu Cina PAS Sabah, di Pejabat PAS Sepanggar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desakan beberapa pihak untuk diadakan PRU dengan segera.

Mengulas lanjut, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, pandangannya itu adalah berdasarkan jumlah rakyat yang keluar mengundi pada PRN di beberapa negeri yang lalu.

“Kita melihat peratusan keluar mengundi di Melaka dan juga Sarawak, kita melihat rakyat seolah-oleh sudah bosan dengan pilihan raya, kekacauan politik ini.

“Baik kita ambil satu jalan, tenang dan kita uruskan dulu negara, ekonomi dan kebajikan masyarakat sehingga satu masa yang diperlukan atau habis tempoh, baru kita mengadakan pilihan raya berdasarkan kepada perlembagaan yang ditentukan negara,” katanya.

Sebelum ini, seorang pemimpin PAS Pusat berpendapat PRU-15 perlu diadakan segera serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) Johor untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|