Operasi kesan penggunaan telefon bimbit ketika memandu

Operasi kesan penggunaan telefon bimbit ketika memandu

Tawau: Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengeluarkan 31 saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi di Batu 11, Jalan Apas, di sini, yang berakhir semalam.

Operasi selama tiga hari yang bermula Sabtu lalu itu menumpukan kepada penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik dalam mengesan pemandu menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi bermula jam 9 hingga 11 pagi itu dijalankan bagi mengesan pemandu kenderaan yang menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan ketika di jalan raya.

Selain itu katanya, beberapa kesalahan trafik lain juga turut dikesan antaranya muatan bahaya atau tidak kemas, ubahsuai ekzos dan sebagainya.

“Pasukan operasi menumpukan kepada kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Budaya ‘Patuh dan Peka’ terhadap keselamatan diri dan orang lain harus diterapkan kepada pemandu agar risiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, semakin lama masa tindak balas dengan telefon bimbit maka semakin tinggi kadar gangguan ketika memandu.

Katanya, fokus utama Polis Tawau adalah meningkatkan pemanduan secara berhati-hati, sentiasa peka dan sensitif terhadap sekeliling.

“Selain itu, pemandu juga digalakkan supaya mengekalkan jarak selamat ketika mengendalikan kenderaan.

“Semua tindakan itu dapat mengurangkan lagi risiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya dan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 31 keping saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh pasukan operasi berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|