Empat bot bawa 17 PATI diusir keluar

Empat bot bawa 17 PATI diusir keluar

Semporna: Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lapan kanak-kanak berjaya diusir keluar dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada jam 9.20 pagi.

Anggota PPM mengusir bot yang cuba menceroboh masuk perairan negara. Pix Ihsan PPM Semporna

Katanya, pasukan rondaan PPM mengesan dua bot tanpa nombor perdaftaran sedang bergerak di perairan laut Pulau Denawan, di sini.

“Pasukan operasi terus memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan dan menemui dua lelaki bersama dua wanita serta empat kanak-kanak.

“Kejadian kedua pula dilaporkan berlaku pada jam 10 pagi di kawasan laut Pulau Pom-Pom, di sini, apabila menemui dua lagi bot dinaiki dua lelaki, tiga wanita dan empat kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, sebaik pemeriksaan dijalankan, pasukan operasi mendapati semua warga asing terbabit dari negara jiran Filipina.

Katanya, semua warga asing berkenaan juga didapati tidak memiliki sebarang pas perjalanan yang sah dan memasuki perairan Malaysia secara salah.

“Pengusiran terus dilakukan dan semua keempat-empat bot berkenaan diiringi sehingga keluar dari perairan negara.

“Semua warga asing terbabit turut diarahkan supaya tidak lagi memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang mengikut Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|