Telupid tuan rumah Piala Sabah 2022 Zon Tengah

Telupid tuan rumah Piala Sabah 2022 Zon Tengah

Telupid: Jawatankuasa Pertandingan Zon Tengah bersiap sedia untuk mengelolakan Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 Datuk Seri Hajiji Noor, bermula 18 hingga 20 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Zon Tengah Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Tommy Amir berkata, semua perlawanan akan berlangsung di padang Majlis Daerah Pekan Telupid.

Tommy mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Zon Tengah yang diadakan di Pejabat Daerah Telupid, semalam.

Katanya, kejohanan peringkat zon itu bakal menemukan tiga daerah iaitu pasukan Telupid, Ranau dan Tongod.

“Perlawanan pertama yang dijadualkan berlangsung pada jam 3.30 petang 18 Mac ini adalah membabitkan pasukan Telupid menentang pasukan Tongod.

“Perlawanan kedua pula yang dijadualkan pada jam 3.30 petang keesokan harinya adalah membabitkan pasukan Ranau bertemu pasukan Tongod,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Telupid.

Tommy berkata, perlawanan kemuncak pada 20 Mac pula membabitkan pasukan Telupid yang akan bertemu pasukan Ranau.

Katanya, johan di peringkat ini akan mewakili Zon Tengah ke kejohanan sama di peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 27 Mac di Kota kinabalu.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengingatkan kepada semua pasukan dan pegawai yang terlibat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Zon Tengah SAFA juga ingin memberikan penghargaan kepada Balai Polis Telupid, Klinik Kesihatan Telupid, Jabatan Kerja Raya (JKR) Telupid, Majlis Daerah Telupid, Pejabat Daerah Telupid dan Pejabat Pendidikan Daerah Telupid serta Jabatan Penerangan Daerah Telupid.

“Begitu juga dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid dan Kelab Sukan Pekan Telupid yang memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan kejohanan ini,”’ katanya.

Tommy berkata, pihaknya amat berharap agar kejohanan kali ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|