Op Degil terus dilaksanakan

Op Degil terus dilaksanakan

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sudah mengeluarkan sebanyak 667 kompaun serta merta (COS) setakat 31 Mac, tahun ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, penguatkuasaan Op Degil berkenaan dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKK di seluruh kawasan bandaraya Kota Kinabalu terutamanya di taman-taman awam dan tempat-tempat awam.

Antara individu yang dikenakan kompaun disekitar tempat awam.

Katanya, ia dijalankan setiap hari bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan bandaraya.

“Ia juga bagi memberi pengajaran kepada individu-individu yang mengotorkan persekitaran bandaraya.

“Sasaran operasi ini adalah kepada individu atau syarikat yang mengotorkan atau membuang sampah di tempat awam dan kesalahan yang selalu ditemui seperti membuang puntungan rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Noorliza berkata, penguatkuasaan itu dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005.

Katanya, pesalah akan diberi pilihan sama ada membayar kompaun serta merta ‘Compound On The Spot’ (COS) tidak kurang dari RM30 dan tidak lebih dari RM500 mengikut jenis dan jumlah sampah yang dibuang atau hadir di mahkamah ‘Summon On The Spot’ (SOS).

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau dihukum Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja-kerja masyarakat empat jam sehari dalam tempoh tidak lebih tiga bulan,” katanya.

Noorliza berkata, sejak bermula dari tahun 2016 hingga tahun 2022, seramai 691 pesalah sudah dihadapkan ke mahkamah (SOS).

Sehubungan itu, Noorliza berkata, orang ramai diingatkan untuk sama-sama menjaga kebersihan persekitaran bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, Op Degil ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan mengambil berat dalam menjaga kebersihan persekitaran bandaraya yang tercinta ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|