Dewan bedah HQE ditutup, 28 pembedahan ditunda

Dewan bedah HQE ditutup, 28 pembedahan ditunda

Kota Kinabalu: Dewan bedah Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, terpaksa ditutup sepanjang hari ini dan esok berikutan gangguan bekalan elektrik sejak tengah hari semalam yang belum pulih sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata penutupan itu bagi memastikan bekalan elektrik ke fasiliti lain, seperti wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) mencukupi dan stabil.

“Sebanyak 28 pembedahan bukan kecemasan (elektif) yang djadualkan pada hari ini ditunda, manakala kes yang memerlukan pembedahan kecemasan akan dilakukan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

“Pada masa ini, syarikat konsesi Sedafiat Sdn Bhd masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang rosak agar bekalan elektrik pulih seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan tengah hari ini.

Katanya, pihak HQE dan JKNS akan sentiasa mengemas kini status pembaikan bekalan elektrik dan perkhidmatan rawatan di hospital berkenaan dari semasa ke semasa.

Gangguan bekalan elektrik di HQE bermula pada jam 11.54 pagi semalam yang membabitkan semua fasiliti di menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama hospital berkenaan.

Gangguan itu juga menyebabkan sebahagian pesakit terpaksa dipindahkan ke HQE II.

Sedafiat yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital di HQE turut mendapatkan bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi mencari punca gangguan dan menjalankan pemulihan bekalan sejak tengah hari semalam.

Ketika ini, bekalan elektrik kecemasan disalurkan ke hospital itu menggunakan dua set janakuasa sedia ada di HQE, disusuli dua lagi set janakuasa mudah alih disediakan SESB.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|