Op Carilamat mangsa hilang dihentikan

Op Carilamat mangsa hilang dihentikan

Labuan: Operasi CARILAMAT mangsa hilang di perairan Pulau Lambidan, Menumbok, dekat sini yang diatur gerak sejak Isnin lalu, ditamatkan hari ini selepas pencarian selama lima hari tidak menemui sebarang petunjuk positif.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu menamatkan operasi CARILAMAT pada jam 6.30 petang tadi.

Operasi Carilamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk positif selepas lima hari operasi. Pix ihsan Maritim Malaysia.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tiada sebarang penemuan atau petunjuk ditemui pasukan di lapangan sepanjang empat hari operasi.

“Walau bagaimanapun, pencarian dan pemantauan akan diteruskan agensi masing-masing yang bertugas menerusi operasi harian mengawal pesisir pantai, laut dan sebagainya.

“Operasi CARILAMAT selama lima hari melibatkan seramai 45 anggota dari pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA bagi melaksanakan pencarian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, keluasan keseluruhan sektor CARILAMAT itu merangkumi 184 batu nautika membabitkan lima aset diatur gerak sepanjang lima hari operasi.

“Maritim Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi serta komuniti maritim yang terlibat dalam usaha pencarian ini.

“Komuniti maritim diseru untuk terus meningkatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan di laut menggunakan talian 999 (MERS) atau 087-453777 (Pusat Operasi Zon Maritim Labuan),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|