Lelaki warga tempatan dipenjara tujuh tahun seludup PATI

Lelaki warga tempatan dipenjara tujuh tahun seludup PATI

Tawau: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang lelaki warga tempatan selepas mengaku bersalah menyeludup tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Ogos lalu.

Tertuduh, Jamal Lukman, 42, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Dr Lim Hock Leng.

Lelaki warga tempatan dipenjara tujuh tahun seludup PATI.

Jamal didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sapulut – Kalabakan pada jam 9.30 pagi, 11 ogos 2021.

Berdasarkan pertuduhan, Jamal didakwa menyeludup Jusman Mancacuni, 46; Adi, 38; Muh Wawan, 24, Ardi Baco, 30; Nurhakiki Faizal, 26 dan dua kanak-kanak masing masing berumur empat dan enam tahun dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna putih.

Dua daripada PATI terbabit turut didapati positif Covid-19 ketika ditahan.

Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hock Leng menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun bermula dari tarikh tertuduh ditahan selepas mengambil kira faktor kepentingan dan kesihatan awam ekoran pandemik Covid-19.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Mohamad Arif Aizuddin Masrom, manakala tertuduh diwakili peguam Raymond Guok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|