OKU lembam buktikan mampu genggam segulung ijazah

OKU lembam buktikan mampu genggam segulung ijazah

Kota Kinabalu: Menghadapi masalah pembelajaran atau lembam bukan bermakna seseorang itu tiada peluang dalam bidang pendidikan termasuk untuk melanjutkan pengajian hingga ke menara gading.

Sebaliknya, bagi seorang penghidap masalah itu, Habib Akmal Rifaie Habib Abduraman, 28, ia satu cabaran untuk membuktikan golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya juga mampu mendapatkan segulung ijazah.

Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Multimedia) Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu adalah antara 4,319 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 yang berlangsung pada 25-27 Jun lalu.

Habib Akmal yang berasal dari Putatan berkata, beliau disahkan mengalami masalah pembelajaran atau lembam sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Ketika berada di UMS, kekurangan ini menjadi satu cabaran besar kerana sukar dan perlu mengambil masa yang lama untuk memahami apa yang diajar oleh pensyarah.

“Saya juga mempunyai sedikit kesukaran dalam berkomunikasi dengan orang ramai termasuk dengan pelajar-pelajar dalam kampus.

“Namun, saya bertekad mengulang kaji dan mempelajari semua subjek yang diajar dengan penuh tekun sehingga benar-benar faham dan menguasainya,” katanya.

Beliau berkata, dorongan dan motivasi daripada kedua ibu bapa menjadi pembakar semangat untuk beliau tidak berundur meskipun berdepan banyak kesukaran.

Katanya, beliau terus menggandakan usaha bagi mengatasi kekurangan diri sehingga berjaya menamatkan pengajian pada 2021.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan membimbing saya khususnya kepada kedua ibu bapa tercinta.

“Tidak lupa kepada semua pensyarah, warga UMS yang prihatin serta semua rakan-rakan yang sentiasa berada pada ketika susah dan senang,” katanya.

Majlis Konvokesyen UMS ke-23 meraikan graduan yang tamat pengajian pada 2021 setelah tertangguh akibat pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|