Kota Kinabalu: ‘Giant killer’ yang pernah menumbangkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh pada Pilihan Raya Negeri 1985 dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Nama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Kadoh Agundong itu mula dikenali selepas kejayaannya menewaskan Harris yang ketika itu adalah Ketua Menteri kerajaan BERJAYA di Tenom.
Berikutan kemenangan itu, Kadoh, 74, dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada 1985 hingga 1986 dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri dari 1986 hingga 1990 di bawah kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Berita kematiannya mula tersebar di media sosial sejak pagi tadi dengan rata-rata netizen menyatakan rasa kehilangan terhadap seorang pemimpin yang pernah mencipta sejarah menewaskan seorang Ketua Menteri yang dianggap sangat berpengaruh pada ketika itu.
Selepas bersama PBS, pemimpin masyarakat Murut itu juga pernah menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan yang terakhir Parti Warisan (WARISAN).
-Deasoka