Taman Khazanah Indah, tidak seindah nama

Taman Khazanah Indah, tidak seindah nama

Lahad Datu: Lebih 1,600 penduduk Taman Perumahan Khazanah Indah, di sini, memohon pihak berkuasa supaya tampil membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Ia membabitkan masalah bekalan air dan pengurusan sampah sarap di taman perumahan yang menempatkan 750 rumah berkenaan.

Timbunan sampah sarap di kawasan perumahan berkenaan.

Salah seorang penduduk, Azlan Syah berkata, masalah utama yang terpaksa dihadapi penduduk sejak lapan tahun lalu itu adalah bekalan air.

Katanya, penduduk di taman berkenaan kini terpaksa mencatu air selama tiga hingga lima hari.

“Perkara ini sudah lama berlarutan lama, malah ia sudah mencecah lapan tahun dan kita tidak tahu bila masalah ini boleh selesai.

“Begitu juga dengan masalah pengurusan sampah yang tidak dikutip. Ia tidak diuruskan dengan baik sehingga mengundang penyakit kepada penduduk,” katanya.

Azlan berkata, ia dapat dilihat sampah di kawasan pembuangan di perumahan berkenaan penuh sehingga berlonggok di tepi jalan.

“Ini merisaukan penduduk taman kerana ia boleh membawa masalah-masalah kesihatan yang lain,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rahim Jadi, turut meluahkan rasa kecewa dengan nasib penduduk yang tidak terbela walaupun menjadi pembayar cukai pintu.

Katanya, kehidupan mereka amat mengecewakan apabila semua masalah yang timbul tidak diambil tindakan sewajarnya.

“Saya amat kecewa, walaupun kami sudah membayar cukai pintu namun pelbagai masalah timbul tidak diselesaikan seperti masalah bekalan air dan sistem perparitan yang tidak teratur.

“Kami mohon pihak berkuasa ambil tindakan sepatutnya, sebab permasalahan kami amat membebankan lebih-lebih lagi kebanyakan penduduk masih membayar ansuran rumah di bank,” katanya.

Manakala seorang lagi penduduk Muhd Syakir berkata, ada ketika bekalan air hanya disalurkan selama 20 minit dan selepas itu terputus sehingga tiga hari.

“Bagi tempoh 20 minit, ia hanya boleh mengisi sebahagian kecil tangki rumah. Tambahan pula bekalan air yang perlahan menyebabkan kami tidak sempat untuk menadah walaupun hanya satu besen air.

“Oleh itu, saya harap pihak berkuasa tolong pandang kami dan jika boleh bantu selesaikan masalah yang kami hadapi.

“Masalah ini bukan baru, malah sudah bertahun-tahun dihadapi penduduk,” katanya.

Menurutnya, penduduk sudah untuk berjumpa dengan pelbagai pihak namun sehingga kini tidak membuahkan hasil.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|