BERSATU Lahad Datu nafi tuduhan Mohamaddin

BERSATU Lahad Datu nafi tuduhan Mohamaddin

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Lahad Datu menafikan tuduhan dilemparkan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi terhadap kepemimpinan bahagian itu yang didakwa meminggirkan beliau dan penyokongnya.

Ketuanya, Abdul Hakim Gulam Hassan, berkata semua tuduhan yang dikatakan menjadi punca Mohamaddin keluar parti ketika sidang medianya semalam adalah tidak tepat dan tidak berasas.

Katanya, dakwaan Mohamaddin yang beliau tiada peranan di Lahad Datu selepas menyertai BERSATU sejak tahun lalu adalah tidak benar kerana peranan sebenarnya ialah membantu rakyat atas kapasiti sebagai wakil rakyat.

“Saya sebenarnya tidak berminat bercakap soal politik ketika ini disebabkan kita sedar keadaan rakyat yang sedang terhimpit selepas pandemik Covid-19.

“Dalam masa yang sama dihimpit lagi dengan kenaikan harga barang dan ekonomi serta sumber pencarian yang tidak menentu.

“Sebagai pemimpin kita perlu melihat masalah yang dihadapi oleh rakyat ini sebagai satu keutamaan. Jadi pada hakikatnya, beliau telahpun diberikan peranan yang sebenar dan yang sepatutnya beliau berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.

“Peranan apalagi yang dituntut oleh beliau sekiranya peranan hakiki sebagai wakil rakyat kawasan ini pun tidak mampu untuk digalas.

“Sebagai pemimpin dan wakil Rakyat, beliau adalah bertanggungjawab terhadap tugas dan amanah yang diberikan, bukan hanya di dunia tetapi juga diakhirat nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab tuduhan Mohamaddin yang antara lain mendakwa tidak diberikan peranan dalam BERSATU Lahad Datu, termasuk tidak dibenarkan menubuhkan cawangan baharu selain hanya dibenarkan menjadi ahli di 14 cawangan sedia ada.

Beliau turut mendakwa dijanjikan peranan dalam parti itu ketika menyertainya pada November 2021, namun selama enam bulan tiada apa-apa diberikan hingga menyebabkannya membuat keputusan keluar parti.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim bagaimanapun berkata tidak tahu apa-apa mengenai janji itu, selain tidak tahu siapa yang menjanjikan beliau dan apa sebenarnya yang dijanjikan kepada Mohamaddin.

Abdul Hakim berkata, jika maksud Mohamaddin dijanjikan jawatan tertentu dalam parti atau bahagian, beliau katanya yang berpengalaman dalam empat parti besar iaitu sejak PBS, PKR, WARISAN dan kemudian BERSATU sepatutnya sedia maklum bahawa untuk menjawat satu-satu jawatan dalam parti harus menawarkan diri bertanding pada pemilihan parti.

“Hari ini, selepas pemilihan parti yang lalu saya telah dipilih sebagai ketua bahagian dan menjadi tanggungjawab saya untuk mengurus tadbir parti dan juga ahli.

“Sekiranya beliau mahu jadi ketua bahagian beliau perlu bertanding pada pemilihan akan datang sekiranya berhasrat untuk memimpin. Kena tunggulah, kena sabar sehingga pemilihan,” katanya.

Katanya, dakwaan Mohamaddin bahawa penyokong yang memberi kemenangan kepada beliau pada PRU dan PRN yang lalu diketepikan oleh parti dan jentera parti menjalankan aktiviti tanpa pengetahuan beliau juga adalah tidak tepat.

“Sebenarnya yang masuk BERSATU pada November lalu hanyalah YB Datuk Mohamaddin sendiri. Dia seorang saja yang masuk BERSATU, manakala penyokong beliau yang memberi kemenangan pada PRU dan PRN yang lalu masih lagi dalam parti asal mereka iaitu WARISAN.

“Malah sebahagian daripada mereka masih memegang jawatan dalam parti tersebut, jadi bagaimana dari segi logiknya mereka diketepikan daripada BERSATU sedangkan mereka bukan berada dalam BERSATU serta masih lagi berjawatan dalam parti lama mereka.

“Bagaimana mereka yang masih dalam WARISAN itu hendak saya libatkan dalam jentera parti BERSATU. Saya rasa saya masih lagi waras dalam pertimbangan saya, mana boleh orang parti lawan saya masukkan dalam jentera parti saya dan apa perlunya saya nak laporkan setiap aktiviti jentera parti saya kepada ahli-ahli parti lawan,” katanya.

Abdul Hakim berkata pihaknya juga mengambil maklum antara sebab lain Mohamaddin tidak puas hati adalah kerana cuba untuk menggantikan jawatan lantikan politik di peringkat daerah yang dilantik lebih awal atas persefahaman BERSATU, GRS dan UMNO BN ketika membentuk kerajaan selepas PRN lalu.

Beliau berkata, hasrat Mohamaddin untuk menggantikan dengan orang-orangnya tidak dapat dilaksanakan kerana mereka masih lagi berjawatan dalam parti pembangkang.

Sementara itu, Abdul Hakim mempersoalkan berapa kerap Mohamaddin turun padang ke Lahad Datu sejak menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Segama serta selepas menjadi ahli BERSATU sejak November tahun lalu.

“Berapa kerap beliau turun ke kawasan untuk menyantuni dan mendengar permasalahan rakyat. Berapa banyak masalah rakyat yang dia selesaikan. Rakyat yang telah mengundi dan memilih dia, seharusnya dia tahu akan peranan sebenarnya.

“Kita tahu banyak masalah rakyat Parlimen Lahad Datu dan Segama yang perlu diselesaikan, antaranya, masalah penempatan, bekalan air bersih, jalan – jalan kampung dan jambatan-jambatan, masalah miskin tegar, termasuklah ibu bapa yang memerlukan bantuan untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran dan berbagai lagi masalah rakyat yang menjadi peranan utama YB untuk diselesaikan,” katanya.

Mengenai kenyataan Mohamaddin yang beliau berlagak seperti wakil rakyat, Abdul Hakim berkata sebagai ketua parti di peringkat bahagian, beliau tidak mempunyai apa-apa peruntukan yang boleh disalurkan kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya beliau berusaha semampu yang boleh untuk membantu rakyat dan berusaha sedaya upaya untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat yang memerlukan.

“Saya hanya mahu berkhidmat kepada rakyat, walaupun sedar tidak dapat memenuhi atau membantu keseluruhan rakyat di kawasan saya tetapi saya cuba dan berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat seadanya.

“Adakah dengan membantu rakyat itu perlu berlagak sebagai wakil rakyat. Tidak seperti dia, dia ada peruntukan Ahli Parlimen, ada peruntukan ADUN, tetapi berapa kali dia turun kawasan tahun ini, banyak kali jugalah, adalah dalam dua kali, banyak juga itu kan.

“Jawatan wakil rakyat ada peruntukan wakil rakyat, ada peranan sebagai wakil rakyat, tapi berlagak seperti tiada peranan dan tidak diberi peranan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|