Tawaran pembelajaran berasaskan kerja untuk golongan gagal SPM, menganggur

Tawaran pembelajaran berasaskan kerja untuk golongan gagal SPM, menganggur

Kota Kinabalu: Mensasarkan golongan B40 dan mereka yang tercicir dari sistem pendidikan formal menjadi keutamaan kepada International Future Education Association (IFEA) untuk memberikan pembelajaran berasas kerja.

Dalam program berkenaan, sasaran utama adalah mereka yang berusia 17 hingga 35 tahun, gagal peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau gagal menamatkan alam persekolahan serta golongan belia yang masih mengganggur.

Presiden IFEA, Nicholas Chiu berkata, program ini diadakan bagi memberi peluang kedua kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Katanya, apa yang membezakannya adalah setiap pelajar akan diberikan biasiswa penuh dan pengalaman dunia pekerjaan sebenar secara serentak.

“Untuk di Sabah, kita bekerjasama dengan Kolej Jesselton dan Institut Kesenian Sabah bagi memberikan mereka yang layak pembelajaran secara teori.

“Bagi pengalaman pekerjaan pula, kita mempunyai rangkaian dengan pelbagai bidang termasuk perhotelan, sektor pembuatan, sektor teknologi maklumat, sektor kejuruteraan elektrik dan banyak lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nicholas berkata, menerusi program ini, setiap mereka yang layak juga boleh membentuk kemahiran baharu selain meningkatkan kebolehpasaran pelajar bagi memenuhi pasaran pekerjaan.

Katanya, sebagai contoh, bagi bidang perhotelan, kita bekerjasama dengan sebuah pusat peranginan di Pulau Tioman, Pahang, untuk pengalaman sebenar alam pekerjaan dan pendidikan.

“Di samping itu, kita juga akan memberikan bantuan elaun bulanan dan penginapan, tajaan tiket penerbangan serta perlindungi insurans perubatan sehingga RM100,000,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, beliau turut bekerjasama dengan pihak IFEA untuk mencari anak-anak golongan B40 yang layak.

Katanya, beliau mengarahkan petugasnya untuk menghubungi keluarga yang tersenarai dalam kategori B40 bagi mengenalpasti mereka yang berminat dan layak.

“Hari ini, saya membawa lima belia yang layak untuk didaftarkan dalam program yang cukup baik ini bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Ia seperti memberi peluang kedua kepada mereka untuk mendapatkan pendidikan lebih tinggi selain peluang pekerjaan mengikut bidang atau masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|