OKU hidap kanser tidak patah semangat capai impian genggam ijazah

OKU hidap kanser tidak patah semangat capai impian genggam ijazah

Kota Kinabalu: Kekangan pergerakan disebabkan kecacatan fizikal, selain disahkan menghidap kanser ketika dalam pengajian tidak melemahkan semangat seorang graduan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan segulung ijazah.

Sebaliknya, Rosdy Latip, 44, yang menghidap kanser tiroid tahap empat dan perlu menggunakan tongkat untuk bergerak menjadikan kekurangan dan perjuangannya melawan kanser sebagai pembakar semangat sehingga berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Rosdy menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Komunikasi) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-23, Sabtu lalu.

Ketika ditemui, beliau meluahkan rasa syukur kerana dapat menamatkan pengajian dan mengikuti konvokesyen pada tahun ini.

Rosdy mengikuti pengajian melalui program Pusat Luar UMS (PLUMS) sejak 2014 sebelum disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat pada 2019.

“Namun, saya tidak menangguhkan pengajian dan tetap meneruskan pengajian saya selama lima tahun. Saya juga berstatus OKU yang memerlukan bantuan tongkat untuk membantu pergerakan saya,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau diberikan cuti khas selama dua tahun dan mengambil peluang itu untuk belajar serta menjalani rawatan dengan membahagikan masa sebaiknya.

“Sepanjang pengajian saya di UMS, pihak universiti sangat mengambil berat keadaan saya dan memberikan sumbangan dana perubatan melalui Hal Ehwal Pelajar.

“Saya juga tidak bermasalah untuk berada di kampus UMS kerana kemudahan di kampus ini adalah mesra OKU,” katanya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, beliau masih menjalani rawatan susulan dan mengambil ubat-ubatan yang menelan belanja kira-kira RM16,000 sebulan.

UMS memberi keutamaan terhadap keperluan dan kebajikan pelajar OKU di menerusi Pusat Pengurusan OKU (PPOKUMS) yang menyediakan khidmat sokongan serta kemudahan kepada mereka.

Kemudahan asas seperti tandas OKU, laluan khas dan tempat letak kereta khas serta kemudahan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seperti penyediaan kubikel, bahan bacaan dalam huruf Braille serta bantuan sokongan sosial untuk mencari bahan rujukan turut disediakan untuk golongan istimewa itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|