Keluar BERSATU kerana tidak diberi peranan – Mohamaddin

Keluar BERSATU kerana tidak diberi peranan – Mohamaddin

Kota Kinabalu: Selepas enam bulan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan keluar parti itu kerana tidak diberi apa-apa peranan.

Beliau mendakwa sejak menyertai parti itu pada November tahun lalu, tiada sebarang peranan diberikan kepadanya termasuk di kawasan Lahad Datu yang diwakilinya.

Mohamaddin ketika sidang media hari ini.

“Keputusan keluar daripada BERSATU ini kerana saya tidak diberi peranan yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti itu sebelum ini.

“Saya dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, namun setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan yang diberikan.

“Daripada awal penyokong saya berminat menyertai BERSATU melalui cawangan mereka tetapi ditolak dan tidak diterima,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga ADUN Segama itu keluar daripada Parti Warisan (WARISAN) pada Oktober tahun lalu sebelum menyertai BERSATU sebulan kemudian.

Berikutan tindakan terbarunya itu, beliau kini kembali menjadi wakil rakyat bebas namun, masih mengambil pendirian mesra kerajaan.

Katanya, beliau belum memikirjan untuk menyertai mana-mana parti lain selepas ini.

Beliau mendakwa BERSATU Lahad Datu hanya menerima kemasukan ahli baharu melalui 14 cawangan yang disediakan parti itu di kawasan Parlimen berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata tindakannya mengumumkan keluar BERSATU adalah atas kehendaknya sendiri tanpa berbincang dengan mana-mana pemimpin parti itu termasuk presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya tidak bincang dengan Muhyiddin atau mana-mana pemimpin BERSATU kerana ini hak saya,” katanya.

Jelasnya, beliau juga tidak bimbang digelar ‘katak’ berikutan kerap keluar parti kerana orang ramai tidak memahami apa yang ditanggungnya berada dalam parti yang tidak memberi apa-apa peranan kepadanya.

“Saya keluar WARISAN dan selepas itu saya masuk BERSATU, lepas enam bulan saya keluar BERSATU lagi. Banyak yang panggil katak lompat sana sini tapi rakyat tidak faham. Bayangkan apa jadi duduk saja dalam parti selama enam bulan, bukannya bertelur.

“Saya tidak bimbang pandangan orang ramai. Siapa panggil katak, kataklah panggil monyet, monyetlah,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata tidak kecewa dengan apa yang dilaluinya selama enam bulan bersama BERSATU, hanya merasakan kehadiran dirinya tidak diperlukan.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Mohamaddin menyerahkan kepada rakyat Lahad Datu sama ada mereka merasakan beliau boleh mempertahankan kerusi berkenaan atau sebaliknya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|