Dr Joachim bawa pelaburan berbilion ringgit, bantu naikkan imej GRS-BN, PBS

Dr Joachim bawa pelaburan berbilion ringgit, bantu naikkan imej GRS-BN, PBS

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM6.2 bilion sejak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) mentadbir negeri ini kira-kira dua tahun lalu.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo, berkata pencapaian itu adalah antara usaha yang berjaya direalisasikan di bawah kepemimpinan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku Menteri Pembangunan Perindustrian.

Katanya, projek terbabit ialah pembuatan kerajang tembaga bernilai RM4.2 bilion yang dibangunkan SK Nexilis dari Korea Selatan dan pembuatan kaca solar bernilai RM2 bilion oleh SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu menerusi inisiatif halatuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah MID secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

“Kedua-dua projek yang sering diperkatakan ini adalah hasil usaha Dr Joachim yang bertungkus-lumus dari awal memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya supaya impaknya dapat dinikmati oleh negeri dan rakyat secara keseluruhannya.

“Kejayaan membawa masuk projek-projek berimpak tinggi ini bukan sahaja menaikkan imej kerajaan GRS-BN dan pelan pembangunan Halatuju SMJ tetapi juga melonjakkan imej Parti Bersatu Sabah (PBS) selaku salah sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri sekarang.

“Ini membuktikan Dr Joachim sebenarnya seorang pemimpin yang berwibawa dan berkebolehan tinggi sama ada sebagai seorang Ahli Kabinet Negeri Sabah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang mahupun selaku pemimpin kanan PBS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, imej PBS makin terserlah hasil usaha Dr Joachim memastikan pelabur asing meneruskan pelaburan berimpak tinggi itu di negeri ini berdasarkan kedudukannya mewakili PBS dalam kerajaan GRS-BN.

“Ini juga bermakna pemilihan Dr Joachim mewakili PBS memegang jawatan penting dalam Kabinet kerajaan GRS-BN bukanlah sesuatu yang sia-sia kerana beliau seorang yang kuat bekerja demi negeri dan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kritikan dan tohmahan tidak berasas yang dilemparkan kepada Naib Presiden PBS itu adalah berniat jahat dengan tujuan mencemarkan imej beliau.

“Ia satu propaganda berat sebelah dan cuba menjatuhkan imej Dr Joachim sebagai Timbalan Ketua Menteri, Menteri Pembangunan Perindustrian, wakil rakyat dan pemimpin kanan PBS,” katanya.

Beliau mengulas laporan satu portal berita nasional mengenai pertandingan satu lawan satu di antara Dr Joachim dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai dalam pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden parti itu, minggu ini.

Yubidi berkata, kewibawaan Dr Joachim selaku wakil rakyat tidak sepatutnya dipersoalkan kerana kepercayaan diberikan rakyat Kundasang kepadanya selama 18 tahun adalah bukti beliau seorang pemimpin yang berwibawa dan atas sebab itu rakyat di kawasannya mahukan beliau terus memimpin mereka.

“Lainlah kalau Dr Joachim ini baru sahaja satu dua penggal sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui Dr Joachim bukanlah seorang pemimpin yang suka bercakap banyak kerana beliau jenis yang kuat bekerja dan kurang bercakap.

“Dr Joachim ini seperti diam-diam ubi berisi dan isinya dinikmati oleh semua rakyat di negeri ini.

“Namun, ini selaras dengan apa yang dikehendaki oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mahukan semua termasuk pemimpin untuk kuat bekerja dan kurangkan berpolitik,” katanya.

Jelasnya, Dr Joachim menyertai PBS melalui kumpulan profesional pada 2002 dan jawatan Naib Presiden yang disandangnya hingga kini dimenangi ketika pemilihan parti sebelum ini yang menyaksikan beliau mendapat undi yang paling banyak ketika itu.

Beliau berkata, PBS ialah sebuah parti yang mengutamakan kerjasama dalam kumpulan (team work) dan bukan hanya mengenai personaliti seorang individu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|