Lagi cubaan seludup minyak masak subsidi digagalkan

Lagi cubaan seludup minyak masak subsidi digagalkan

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekali lagi menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi di perairan daerah ini, jam 9.30 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi 0.5 batu nautika utara Pulau Kulapuan.

Bot pam yang membawa muatan minyak masak bersubsidi dirampas.

Katanya, ketika menghampiri bot pam itu,tekong bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek sebelum terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui sebanyak 340 paket minyak masak subsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Bot pam sarat membawa muatan minyak masak bersubsidi yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, dua unit enjin pam dan 340 paket minyak masak bernilai RM5,350,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norrimi berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang disebalik kegiatan ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar ‘hot sport’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|