Kota Kinabalu: Usaha kerajaan negeri membantu rakyat miskin memiliki rumah melalui program Rumah Mesra SMJ disifatkan sebagai komitmen jelas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan semua rakyat Sabah memiliki rumah.
Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata beliau sangat tersentuh dengan kata-kata Ketua Menteri berhubung usaha itu pada pelancaran Rumah Mesra SMJ di Kuala Penyu pada 28 September lalu.

“Dorang miskin, tapi kalau mereka ada sedikit tanah untuk tapak rumah, kita perlu bantu cari jalan buat rumah untuk keluarga berlindung. Jangan sampai orang miskin tiada tanah walau seinci, baru kita mahu ikhtiar untuk bantu. Masa itu kos yang diperlukan akan makin tinggi,”.
Itu antara kata-kata Hajiji pada majlis berkenaan yang diingati Armizan dalam ulasannya mengenai pelaksanaan program Rumah Mesra SMJ menerusi satu kenyataan, di sini.
Armizan berkata, ungkapan bermakna itu dilafaz Ketua Menteri sebagai respon kepada cadangan alternatif supaya peruntukan ratusan juta yang diperuntukkan untuk pelaksanaan Rumah Mesra SMJ seharusnya diutamakan terlebih dahulu bagi program atau projek berimpak tinggi berorientasikan ekonomi.
Katanya, cadangan itu sememangnya mempunyai asas kerana dana tambahan diperlukan untuk inisiatif dan strategi yang amat penting serta menjadi keutamaan sebagai pemangkin lonjakan ekonomi Sabah.
“Namun, ‘wisdom’ yang mengiringi hujah Ketua Menteri mempertahankan peruntukan segera untuk Rumah Mesra SMJ telah meyakinkan mereka yang terlibat dalam perbincangan itu.
“Dan pada 28 September 2022 yang lalu bersempena Dua Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan beliau, Hajiji telah melancarkan secara rasmi Rumah Mesra SMJ dengan dua unit awal (bertiang & atas tanah) siap dibina di Menumbok dan Kuala Penyu,” katanya.
Jelasnya, Rumah Mesra SMJ bermula dengan kejayaan yang diperolehi melalui muafakat untuk meningkatkan kadar pemberian Geran Khas Persekutuan oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Sabah daripada RM26 juta kepada RM125.6 juta setahun.
Kadar berkenaan katanya adalah yang pertama kali disemak dan ditingkatkan pada 2022 sejak Malaysia dibentuk pada 1963.
“Geran ini adalah hak Sabah yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan termaktub atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ketua Menteri berkehendakkan supaya nilai dan makna dalam sejarah baharu ini bukan hanya harus diDENGAR, tetapi perlu dapat diLIHAT dan diRASAI secara langsung oleh rakyat Sabah,” katanya.
Armizan berkata, atas sebab itu, Ketua Menteri mengusulkan kesemua kadar peningkatan Geran Khas Persekutuan itu diperuntukkan bagi pelaksanaan Rumah Mesra SMJ.
Tambahnya, program berkenaan adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui teras ketiga iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.
“Rumah Mesra SMJ berkonsepkan Program PPRT. Ini bermakna selain daripada Rumah PPRT yang jumlah peruntukan tahunannya bergantung kepada Persekutuan, golongan miskin juga akan dapat dibantu melalui program pemberian rumah versi Kerajaan Negeri.
“Syukur Alhamdulillah, dalam hanya tempoh lebih kurang dua bulan dari tarikh geran hak negeri ini disalurkan oleh Persekutuan ke dalam kantung Negeri, inisiatif ini telah dapat dirintis dan akan membawa 1,500 unit setahun Rumah Mesra SMJ untuk diagihkan kepada golongan miskin dalam senarai e-kasih,” katanya.
-Deasoka