Nelayan hilang di perairan Kalampunian, masih dicari

Nelayan hilang di perairan Kalampunian, masih dicari

Kudat: Seorang nelayan yang hilang selepas disyaki terjatuh ke laut di sekitar perairan Kalampunian, di sini, kelmarin, masih belum ditemui.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan daripada seorang wanita yang juga isteri kepada mangsa hilang.

Pasukan operasi turut mendapatkan maklumat daripada komuniti laut bagi membantu operasi mengesan mangsa.

Katanya, laporan itu mendakwa suaminya, Abdul Rahman Sabran, 55, keluar menangkap ikan pada jam 4 petang, Rabu lalu, namun sehingga kini masih belum pulang ke rumah.

“Operasi Carilamat terus diaktifkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu pada jam 12.15 tengah hari semalam.

“Terdapat juga penduduk kampung yang mendakwa menemui bot mangsa hanyut tanpa mangsa di lokasi kira-kira 0.8 batu nautika di Pulau Kalampunian, di sini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Bot ronda Maritim Malaysia yang berpangkalan dari Zon Maritim Kudat sudah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal.

“Operasi Carilamat turut dibantu oleh aset-aset daripada agensi sahabat yang lain iaitu, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sehingga jam 6 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan tiada sebarang petanda positif yang ditemui oleh aset-aset yang terlibat.

“Operasi pencarian mangsa ditangguhkan pada jam 6.30 petang, semalam, dan disambung semula awal pagi hari ini ,” katanya.

Sehubungan itu, Maurice Grenville berkata, pihaknya memohon kerjasama daripada komuniti maritim khususnya di perairan Kudat untuk membantu mencari mangsa.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Zon Maritim Kudat) atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|