Cubaan seludup 646 minyak masak paket gagal

Cubaan seludup 646 minyak masak paket gagal

Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 646 paket minyak masak bersubsidi menerusi Ops Pluto Timur, di perairan daerah berkenaan, awal pagi tadi.

Rampasan itu dibuat berikutan pengesanan ke atas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi sekitar 0.7 batu nautika Barat Daya, Kampung Labuan Haji, di sini, jam 2.10 pagi.

Bot yang digunakan untuk membawa minyak masak disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, sebaik menyedari kehadiran bot penguatkuasa, suspek bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot menemui sebanyak 646 paket minyak masak bernilai RM1,615.

Minyak masak paket yang cuba diseludup berjaya digagalkan Maritim Malaysia menerusi Ops Pluto Timur.

“Keseluruhan rampasan iaitu bot, ending sangkut, dan semua minyak masak yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM11,615.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang disebalik kegiatan ini.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar
sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah melalui jalan laut.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan
atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|