Isu pencerobohan hutan bakau perlu kerjasama semua pihak

Isu pencerobohan hutan bakau perlu kerjasama semua pihak

Kota Kinabalu: Perhatian yang serius diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani isu pencerobohan hutan bakau di negeri ini terutamanya di kawasan pantai timur memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Suhaimi Nasir berkata, hutan simpan bakau adalah khazanah negeri yang harus dilindungi bagi memastikan ekosistem bakau produktif dan pelbagai fungsi dapat dikekalkan.

“Penduduk setempat perlu memainkan peranan dalam memastikan pencerobohan hutan simpan bakau ini tidak berlaku.

“Hutan bakau menjadi sasaran aktiviti pencerobohan terutamanya bagi aktiviti pengambilan kulit tangar (bakau) kerana kualiti dan keadaan dirian hutan bakau di Sabah adalah padat,” katanya dalam pertanyaan lisan sidang DUN Sabah, di sini, hari ini.

Katanya lagi, kedudukan geografi dan persekitaran negeri ini yang berdekatan dengan negara jiran yang menyebabkan penceroboh berani untuk menjalankan aktiviti haram ini kerana mudah untuk mereka meloloskan diri ke perairan antarabangsa sekiranya dikejar oleh pihak penguatkuasa.

Suhaimi sebelum itu diberitahu oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah menjalankan beberapa operasi bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) dan lain-lain agensi lagi bagi membendung kegiatan pencerobohan hutan simpan bakau.

“Ketua Menteri turut memberitahu dimana sebanyak 25 operasi bersepadu di kawasan hutan bakau telah pun dijalankan sejak tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 364 kes tangkapan telah dibuat di mana dari jumlah itu seramai 181 orang telahpun dijatuhkan hukuman di mahkamah.

Dalam pada itu, Suhaimi turut mengemukakan soalan lisan kepada Hajiji selaku Menteri Kewangan, adakah kerajaan negeri akan merangka pelan strategi menerusi Bajet 2023 ekoran kesan kadar inflasi negara walaupun tidak berada pada paras yang tinggi berbanding negara jiran.

Hajiji memberitahu oleh kerana itu melibatkan isu nasional, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong tindakan dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan bagi menangani krisis ekonomi demi menjaga kepentingan rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|